
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menyumbang kuih raya sempena sambutan Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas pada hari lebaran.
Pengagihan kuih muih tersebut diadakan dengan kerjasama Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama).
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sumbangan Kuih Raya Aidilfitri kepada ketua-ketua jabatan dan agensi keselamatan mewakili 11,000 anggota yang bertugas di Kelantan.
“Program ini menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri di atas segala jasa dan bakti seluruh anggota pasukan keselamatan yang bertugas menjaga ketenteraman, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan negara.
“Sesungguhnya tanggugjawab tersebut merupakan khidmat bakti yang mulia di sisi agama Islam yang sangat menekan keamanan dan kesejahteraan berlandaskan maqasid syariah,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Program penyampaian sumbangan tersebut diadakan di Kota Darulnaim hari ini.
Program terbabit merupakan aktiviti tahunan kerajaan negeri dengan kerjasama Purnama yang bertanggungjawab menyedia dan membungkus kuih muih tersebut.
Menteri Besar juga berharap sumbangan terbabit akan memberi keberkatan dan sedikit sebanyak dapat menyuntik rasa kebersamaan untuk terus berkhidmat kepada negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 21/4/2022











