
MAKKAH: Presidensi Agung Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi (Presidensi Umum) mengumumkan peruntukan lima vakum pintar untuk membersih dan membasmi kuman di permukaan Kaabah.
Setiausaha Agung Perkhidmatan, Hal Ehwal Lapangan dan Perlindungan Alam Sekitar di Presidensi Umum, Mohammed Al-Jabri berkata, operasi pembersihan dan pembasmian kuman di permukaan Kaabah dijalankan aplikasi menggunakan teknik pembersihan terkini.
“Vakum pintar berkenaan mengambil masa sehingga empat jam untuk dicas dan baterinya bertahan selama tiga jam berterusan. Ia mampu beroperasi meliputi kawasan seluas 180 meter persegi dalam tempoh tiga jam.
“Vakum pintar berkenaan juga dibekalkan dengan vakum hibrid dan mop yang beroperasi melalui teknologi pemetaan kecerdasan buatan (AI),” jelas beliau.
Menurut Al-Jabri, peranti dan teknologi moden itu bertujuan untuk memelihara kualiti marmar, menghilangkan kotoran dan menyucikan Kaabah khususnya dan Masjidil Haram secara amnya.
“Agensi (Presidensi Umum) sangat teruja untuk menyediakan teknologi terkini untuk memurnikan Kaabah dan ia akan menyumbang kepada mempercepatkan lagi pelaksanaan operasi berkenaan.
“Semua pekerja adalah pakar dan terlatih untuk berkhidmat di Kaabah,” ujarnya.

Al-Jabri menegaskan bahawa usaha agensi berkenaan selaras dengan bimbingan daripada Ketua Urusan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais, yang diambil sebagai panduan.
Operasi pembersihan dibahagikan kepada beberapa peringkat, yang pertama ialah menyapu permukaan Kaabah dengan kain basah, membuang habuk dan najis burung, kemudian menyapu seluruh permukaan Kaabah, pemegang kelambu atau Kiswah Kaabah, dinding Kaabah, dan dinding di sebelah Kaabah, serta pintu bumbung dari bahagian luar Kaabah,” jelas beliau lagi.
Vakum moden yang disediakan oleh Presidensi Umum digunakan selepas itu untuk mencuci, membilas dan menyediakan penyedutan.
“Permukaan Kaabah kemudian disembur dengan air dan disapu sekali lagi. Kemudian peringkat pengeringan, dan akhirnya menyembur dengan air mawar. Proses pembersihan biasanya selesai dalam masa 20 minit,” katanya. – Arab News




















