
Oleh TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
APA khabar semua? Saya harap saudara-saudari sihat walafiat dan senantiasa dalam rahmat Allah SWT.
Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan Al-Karim kepada seluruh umat Islam di negara ini. Esok kita semua akan melaksanakan ibadah berpuasa dan malam ini kita mula bersolat tarawih.
Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana mempertemukan lagi kita dengan Ramadan, bulan penuh keberkatan dan bulan penuh pengampunan.
Pada bulan ini Allah menjanjikan ganjaran keampunan dan kerahmatan yang sangat besar kepada umat Islam. Pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup, doa dimakbulkan dan terdapat satu malam iaitu Lailatur Qadar yang mana segala amalan pada malam tersebut diberi pahala berganda seperti kita beribadah selama 1,000 bulan.
Sambutan Ramadan pada tahun ini sudah tentunya berbeza dengan sambutan dua tahun lalu iaitu pada 2020 dan 2021. Ketika itu kita berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19. Oleh kerana pergerakan terbatas, kita tidak dapat melakukan ibadah di masjid atau di surau. Bagi mengekang penularan wabak ini, hanya sebilangan kecil ahli jawatankuasa masjid atau surau dibenarkan solat tarawih berjemaah masjid atau surau. Aktiviti-aktiviti mengimarahkan masjid lain seperti majlis berbuka puasa, tadarus dan tadabur serta moreh juga tidak dibenarkan.
Bagaimanapun tahun ini kita bersyukur kerana semua aktiviti tersebut sudah dibenarkan seperti biasa walaupun dalam norma baharu dan masih terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kelonggaran ini dapat diberi kerana kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.
Kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil langkah pantas dan berani dengan menempah lebih 87 juta dos vaksin membabitkan perbelanjaan 4.36 bilion ringgit. Saya sendiri merupakan antara individu pertama yang menerima dos vaksin pada 24 Februari 2021.
PICK kini telah menyaksikan lebih 98 peratus populasi dewasa di negara ini sudah menerima dos vaksinasi lengkap manakala lebih 67 peratus populasi dewasa sudah menerima dos penggalak.
Keadaan ini juga membolehkan hampir kesemua sektor kehidupan termasuk sektor ekonomi dibuka seperti biasa temasuk aktiviti-aktiviti di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat lain. Malah atas cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN), Malaysia sudah berpindah daripada pandemik memasuki fasa endemik dan pintu sempadan negara juga telah dibuka sejak 1 April lalu. Inilah nikmat besar yang kita perolehi daripada program imunisasi tersebut.
Peluang untuk berbuka puasa, menunaikan solat sunat tarawih dan menyertai aktiviti-aktiviti ihya Ramadan di masjid atau di surau pada tahun ini adalah satu nikmat yang tidak dapat kita rasakan pada Ramadan tahun lepas.
Dalam pada kita menjalani ibadah sepanjang bulan ini, jangan sesekali kita lalai untuk mematuhi SOP yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal, tidak bersalaman serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman ketika berada di masjid atau surau.
Marilah kita gunakan peluang ini untuk berlumba-lumba meningkatkan amalan seperti bersedekah, solat sunat, membaca al-Quran dan qiamullail sepanjang Ramadan ini bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Semoga setiap amalan kita di bulan penuh berkat ini diterima Allah hendaknya.
Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak 1443H. – HARAKAHDAILY 2/4/2022




















