Ganding bahu bangun masyarakat sejahtera

- Advertisement -

Oleh USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

‎الحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَ الْمُرْسَلِيْنَ  وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

Firman Allah SWT:

‎يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَۙ

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah ayat 183)

- Advertisement -

Bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh sekalian umat Islam kerana keberkatan dan kemuliaannya di sisi Allah SWT. Ramadan merupakan madrasah penyucian jiwa dalam meraih taqwa dan membentuk peribadi mukmin sejati. Sabda Nabi SAW:

‎مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, umat Islam wajib mengambil peluang kedatangan Ramadan untuk menggandakan pahala dan mendapatkan bonus atau pun pelepasan khas daripada neraka Allah SWT. Orang yang benar-benar memanfaatkan peluang ini dia akan beruntung kerana Allah SWT telah memudahkan segala urusan dan amalan dengan membelenggu syaitan dan iblis daripada mengganggu anak Adam.

Fasa Peralihan Endemik membolehkan umat Islam memanfaatkan pengimarahan masjid-masjid dan surau-surau untuk bertadarus, qiam dan beriktikaf.

Pembukaan semula Madinah Ramadan di tengah Bandar Kota Bharu bakal menghidupkan kembali suasana Ramadan yang menjadi sinonim dengan Kota Bharu Bandar Raya Islam. Selain itu, peralihan ini juga membuka lebih luas aktiviti ekonomi buat rakyat untuk mencari rezeki dan diharap setiap rakyat Kelantan sentiasa mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan.

Saya menyeru agar kita semua memeriahkan rumah-rumah Allah dengan solat berjemaah dan solat sunat tarawih. Banyakkan tadabur dan membaca al-Quran serta bersedekah. Dalam masa yang sama kita berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar negeri dan negara serta seluruh umat Islam diberi keselamatan dan kesejahteraan oleh Allah SWT. Sama-sama tumpukan peningkatan amal ibadah dan berganding bahu dalam perkara membangunkan masyarakat sejahtera serta bertaqwa.

Saya mewakili seluruh kepimpinan kerajaan negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat Kelantan yang sentiasa menyokong agenda Membangun Bersama Islam. Selamat menyambut kedatangan Ramadan Al-Mubarak buat seluruh umat Islam khususnya rakyat Kelantan termasuk di perantauan.

Semoga kita beroleh kejayaan madrasah Ramadan untuk menjadi insan yang bertaqwa, ikhlas, sabar dan syukur serta mempunyai akhlak dan keperibadian yang mulia. Semoga amalan dan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Ramadan Karim. – HARAKAHDAILY 2/4/2022

- Advertisement -