Turki gesa gencatan senjata Rusia-Ukraine

Erdogan pada pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Sochi, Rusia pada 29 September 2021.(FOTO AP)
- Advertisement -

ISTANBUL: Turki mengulangi gesaannya  agar disegerakan gencatan senjata antara Rusia dan Ukraine menjelang rundingan damai di Istanbul untuk menamatkan perang antara kedua-dua negara yang kini memasuki bulan kedua.

- Advertisement -

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam kenyataannya pada Selasa (29 Mac) berkata, keamanan yang adil tidak merugikan, dan konflik yang berpanjangan bukan untuk kepentingan sesiapa.

Beliau juga berkata Turkiy bersedia untuk menjadi tuan rumah rundingan damai antara kedua-dua Presiden Rusia dan Ukraine.

“Turki telah mempamerkan pendekatan yang adil untuk melindungi hak, undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak Rusia dan Ukraine dalam semua platform antarabangsa,” tegasnya.

Pusingan baharu rundingan damai antara Rusia dan Ukraine yang diuruskan oleh Turki akan bermula di Istanbul pada Selasa (29 Mac), yang mana perunding Rusia dan Ukraine tiba di bandar itu pada Isnin (28 Mac).

Terdahulu, Erdogan berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak untuk ‘pertemuan singkat’ sebelum rundingan damai berkenaan.

“Rundingan telefon dengan rakan sejawatan saya dari Ukraine dan Rusia menunjukkan perkembangan yang ‘memberangsangkan’,” ujarnya.

Beberapa pusingan rundingan antara Rusia dan Ukraine telah diadakan di Belarus setakat ini, dan rundingan terakhir telah diadakan melalui pautan video pada 14 Mac lalu, tanpa keputusan konkrit dicapai lagi.

Turkiy menjadi tajuk utama berita media di seluruh dunia pada 10 Mac lalu susulan menjadi tuan rumah kepada  pertemuan antara Menteri Luar Rusia dan Ukraine di bandar selatan Antalya, yang merupakan pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak sejak perang bermula pada 24 Februari lalu.

Walaupun kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata, mereka  bagaimanapun bersetuju untuk meneruskan rundingan berhubung konflik itu.

Serangan Rusia terhadap Ukraine telah meraih kemarahan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan United Kingdom, antara lain telah melaksanakan sekatan kewangan yang keras ke atas Moscow.

Menurut kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1,151 orang awam terbunuh di Ukraine dan 1,824 cedera, dengan kemungkinan angka sebenar jauh lebih tinggi.

“Sementara lebih 3.87 juta rakyat Ukraine juga telah melarikan diri ke beberapa negara Eropah, dengan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal di dalam negara itu,” ujar kenyataan agensi pelarian PBB. – aa.com.tr

- Advertisement -