Menjelang Ramadan 2022: Itikaf dibenarkan semula di Masjidil Haram

Kali terakhir ibadah itikaf dibenarkan di Masjidil Haram ialah sepanjang 10 hari terakhir Ramadan pada 2019. (FOTO Saudi Gazette)
- Advertisement -

MAKKAH: Ibadah itikaf akan dibenarkan semula di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah pada bulan Ramadan tahun  ini yang bakal menjelang awal April ini selepas ia direhatkan selama selama dua tahun.

Ketua Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Dr. Abdul Rahman Al-Sudais, dalam kenyataannya pada Khamis (24 Mac) berkata, pihaknya akan mula mengeluarkan permit melalui laman web rasminya tidak lama lagi, dan ia  akan diselaraskan dengan syarat khusus dan kriteria yang telah ditetapkan.

- Advertisement -

Kebenaran untuk melakukan itikaf yang merupakan ritual tinggal di masjid semata-mata untuk tujuan ibadat dan meditasi, telah digantung di Dua Masjidil Haram sepanjang Ramadan pada 2020 berikutan penularan wabak Covid-19. 

Penggantungan terhadap itikaf kemudian diteruskan sepanjang Ramadan 2021 sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan virus pembunuh berkenaan.

Namun, sebelum digantung pada tahun itu, sebanyak 100,000 jemaah berkesempatan melakukan itikaf di dua masjid berkenaan pada 10 hari terakhir Ramadan 2019, yang mana presidensi Dua Masjid Suci telah memperuntukkan bumbung masjid untuk itikaf dengan rak dan peti besi berasingan. 

Setiap jemaah diberikan loker sendiri dengan kunci untuk menyimpan barang-barang mereka, termasuk sejadah, bantal, cadar ringan dan pakaian ihram.

Pihak presidensi dua masjid berkenaan  juga telah melancarkan portal dalam talian untuk memberi garis panduan dan kemudahan pendaftaran kepada bakal jemaah yang berniat untuk melakukan itikaf. – Saudi Gazette

- Advertisement -