Muskan Khan lambang keberanian lawan larangan memakai hijab

- Advertisement -

Muskan Khan yang memakai hijab di Karnataka, sebuah negeri selatan India, dipuji kerana keberaniannya menghadapi ancaman dan gangguan sekumpulan lelaki di luar kolejnya ketika protes semakin memuncak terhadap larangan memakai hijab di institusi pendidikan.

Dalam video yang viral Selasa lalu, Muskan Khan selepas meletakkan skuternya di luar bangunan kolej di Mandya, tiba-tiba diserbu sekumpulan lelaki melaungkan slogan keagamaan terhadapnya kerana memakai hijab.

- Advertisement -

Namun Muskan Khan dengan berani mengangkat tangan dan melaungkan ‘Allahu Akbar’ (Allah Maha Besar) terhadap kumpulan lelaki terbabit yang memakai skaf safron.

“Saya tidak takut walaupun seorang diri menghadapi mereka dan akan terus memperjuangkan hak memakai hijab,” katanya yang sentiasa memakai hijab di kolej.

Menurutnya, cara berpakaian tidak pernah menjadi isu bagi pihak kolej dan hanya orang luar mengapi-apikan perkara itu yang menjadi kontroversi di negeri ditadbir parti diketuai Perdana Menteri, Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Sebaik saja tindakannya menjadi viral di media sosial, Muskan Khan dipanggil sebagai gadis berani, manakala kumpulan lelaki yang menganggunya dikecam kerana menjadikan seorang gadis sebagai sasaran.

“Betapa berani dan maco mereka menjadikan gadis yang sendirian sebagai sasaran. Kebencian terhadap orang Islam sudah menjadi perkara biasa di India,” kata bekas Ketua Menteri wilayah Kashmir yang ditadbir Oleh India, Omar Abdullah.

Aktor Bollywood, Richa Chadha, turut mengecam perbuatan kumpulan lelaki terbabit dan menyuarakan sokongan terhadap wanita.

“Besarkan anak lelaki dengan lebih baik. Sungguh memalukan dan pengecut menyerang beramai-ramai seorang wanita dan kemudian bangga dengan perbuatan mereka.

Pengerusi Amnesty Antarabangsa India, Aakar Patel, pula berkata: “Saya dan Shekhar, banyak kali menulis dalam kolum masing-masing mengenai apa yang wanita capai hari ini,” merujuk kepada Shekhtar Gupta, pengasas portal berita, The Print, yang mengkritik pengharaman hijab.

Sementara itu, kejadian itu menyebabkan pihak berkuasa Karnataka menutup sekolah pada Selasa lalu, selain kebimbangan meningkat di kalangan golongan minoriti yang menjadi sasaran kerajaan nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Modi.

Demonstrasi Selasa lalu, menyebabkan polis melepaskan tembakan gas untuk menyuraikan penunjuk perasaan di kolej milik kerajaan, selain kehadiran ramai anggota polis di sekolah.

Ketua Menteri Basavaraj Bommai, meminta semua pihak bertenang selepas mengumumkan semua sekolah tinggi ditutup selama tiga hari.

Januari lalu, pelajar di sekolah kerajaan dilarang memakai hijab dengan arahan itu kemudian diperluaskan ke institusi pendidikan lain di Karnataka.

“Tiba-tiba mereka beritahu bahawa kamu tidak boleh memakai hijab…kenapa mereka buat sekarang?” kata Ayesha yang belajar di Kolej Memorial Mahatma Gandhi di Udupi.

Katanya, gurunya tidak membenarkannya menduduki peperiksaan subjek kimia kerana memakai hijab.

“Kami tidak menentang sebarang agama. Kami tidak memprotes terhadap sesiapa. Ini hak kami,” katanya.

Pelajar, A H Almas, pula berkata, apa yang berlaku sekarang ialah satu bentuk aparteid agama dengan larangan memakai hijab sebagai diskriminasi terhadap wanita Islam.

Kemenangan Modi dalam pilihan raya India pada 2014 menyebabkan kumpulan tegar dalam BJP melihat India sebagai negara Hindu, sekali gus memberi kesan terhadap kira-kira 200 juta penduduk Islam sebagai golongan minoriti, iaitu kira-kira 14 peratus daripada penduduk negara itu

Kerajaan BJP juga sama ada di peringkat pusat atau negeri, dilihat melakukan diskriminasi terhadap kumpulan agama minoriti, sekali gus menyemarakkan keganasan.

Keganasan dan ucapan kebencian terhadap penduduk Islam semakin meningkat di bawah pentadbiran Modi dengan penduduk Islam menggunakan tanda pagar #HijabHakKami disebarkan meluas di media sosial. – TRTWorld

- Advertisement -