
KOTA BHARU: Sehingga 31 Disember 2020 hanya Kelantan, Terengganu dan Pahang sahaja yang memiliki kawasan berhutan lebih 50 peratus daripada keluasan negeri.
Kawasan berhutan paling luas di Pahang iaitu 56.05 peratus dengan hutan simpan kekal (HSK) 42.98 peratus. Diikuti Terengganu kawasan berhutan 52.17 peratus (HSK – 41.65 peratus).
Manakala Kelantan kawasan berhutan 51.01 peratus (HSK – 41.88 peratus). Perak pula mempunyai HSK paling luas iaitu 46.70 peratus dan kawasan berhutan 47.79 peratus.
Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Abdul Khalim Abu Samah berkata, keluasan kawasan berhutan di negeri itu sehingga 31 Disember 2020 seluas 767,202.50 hektar.
Daripada keluasan tersebut 629,880.95 hektar merupakan HSK dan selebihnya hutan tanah kerajaan dan taman negara.
“HSK dibahagikan kepada hutan pengeluaran seluas 468,714.63 hektar (74.41 peratus) dan hutan perlindungan seluas 161,166.32 hektar (25.59 peratus).
“Pengusahasilan hutan atau pembalakan hanya dibenarkan di hutan pengeluaran sahaja, manakala hutan perlindungan tidak dibenarkan pembalakan sama sekali,” katanya pada kenyataan hari ini.
Menurutnya Jabatan Perhutanan Negeri komited untuk memastikan semua kawasan HSK di Kelantan diurus sepenuhnya di bawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).
Kata beliau bagi mencapai matlamat itu, pengusahasilan HSK ditentukan berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan Pengurusan Hutan Memilih (SMS) dengan had batas tebangan sekurang-kurangnya 60 cm kaum damar dan 50 cm kaum bukan damar.
Katanya, CTT adalah untuk mengimbangi jumlah pengeluaran dan penghasilan kayu dengan keupayaan dan keluasan hutan pengeluaran di kawasan HSK.
Bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menetapkan CTT di Kelantan 5,417 hektar/tahun manakala RMK -12 ialah 3,900 hektar/tahun.
“Berdasarkan kepada CTT tersebut, keluasan kawasan yang dilesenkan bagi RMK Ke-11 dan RMK Ke-12 di Kelantan adalah lebih rendah daripada CTT yang ditetapkan,” ujarnya.
Menurutnya juga sektor perhutanan merupakan antara penyumbang kepada hasil negeri.
“Sumbangan hasil hutan yang keempat meliputi sekitar 10 peratus daripada hasil negeri,” tambahnya.
Sebelum ini ada pihak mendakwa penebangan hutan menyebabkan harimau memasuki kawasan kampung Orang Asli sehingga menakutkan mereka untuk keluar mencari makan.
Pada awal bulan ini seorang penduduk Orang Asli di Kampung Sau, Pos Bihai Gua Musang maut dibaham harimau. – HARAKAHDAILY 28/1/2022




















