Sambutan Tahun Baru erat hubungan pelbagai etnik

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini diharap dapat mengukuhkan persahabatan dan hubungan harmoni penduduk pelbagai etnik di Sabah.

Ketua Menteri Dato’ Seri Hajiji Noor berkata, beliau berpeluang beramah mesra dengan masyarakat Tionghua sempena program berkenaan di Ranau semalam.

- Advertisement -

“Saya sangat sangat gembira apabila dapat merasmikan program ini. Inilah peluang untuk kita semua bagi merapatkan lagi hubungan,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di Dewan Persatuan Hakka Daerah Ranau.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan enam kepala singa sebagai bantuan kerajaan negeri kepada persatuan masyarakat Tionghua di daerah Ranau.

Persatuan terbabit termasuk Dewan Perniagaan Tionghua Ranau, Persatuan Hakka Ranau, Tokong Chon Chu Kung Ranau, Persatuan Tarian Naga dan Singa Kinabalu Ranau, Persatuan Hokkien Ranau dan Persatuan Peranakan Tionghua Ranau.

Hajiji juga berkata, sumbangan itu diharap memberi manfaat dan memupuk semangat persaudaraan serta meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat di Sabah.

“Tahniah dan syabas kepada barisan urusetia yang telah bertungkus–lumus untuk memastikan kelancaran majlis ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/1/2022

- Advertisement -