
Oleh AIN MANAF
PASIR MAS: Kerajaan negeri memberi jaminan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok mampu menangani masalah banjir yang sering berlaku di Rantau Panjang.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, berkata pembinaan projek itu yang melalui beberapa fasa, dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2024.
Sehubungan itu, katanya sepanjang tempoh pembinaan tentu boleh berlaku banjir seperti yang berlaku baru-baru ini.
“Namun, kerajaan sentiasa mengambil tindakan susulan sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan projek itu belum siap sepenuhnya.
“Kalau kita lihat impak yang berlaku hari ini, diakui memberi kesan kepada penduduk kerana projek tebatan belum siap sepenuhnya,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada penduduk terlibat dengan banjir di Dewan Utama Apam Putra, hari ini.
Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengambil langkah segera untuk menangani masalah banjir.
Oleh itu, katanya kerajaan negeri meminta pemaju projek dapat mempercepatkan pelaksanaan projek supaya tidak berlaku lagi banjir.
Sementara itu, ditanya dakwaan berlaku pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian di Kuala Krai, katanya hanya aktiviti pembalakan berlesen dibenarkan.
Bagaimanapun, katanya dakwaan itu mungkin sekadar andaian yang dibuat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, tular seorang aktivis berkongsi gambar dan rakaman video hasil tinjauannya di kawasan HSK Sungai Durian, yang didakwa musnah ditarah untuk projek ladang hutan. – HARAKAHDAILY 29/12/21




















