
SINGAPURA: Kira-kira 52,000 pekerja di negara ini masih belum divaksinasi ketika pihak berkuasa Singapura mengumumkan semalam, bahawa pekerja yang tiada vaksinasi tidak akan dibenarkan kembali ke tempat kerja mulai 15 Januari ini.
Daripada jumlah ini, kira-kira 6,700 pekerja berumur 60 tahun dan ke atas yang berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk atau kematian akibat jangkitan Covid-19.
“Hanya sebilangan kecil daripada pekerja berkenaan dari segi perubatan tidak boleh divaksinasi,” kata Kementerian Sumber Manusia (MOM) Singapura dalam kenyataan mengenai Covid-19 di tempat kerja.
Setakat 19 Disember lalu, kira-kira 80 peratus firma mencapai 100 peratus pemberian vaksin kepada pekerja masing-masing dan 98 peratus daripada jumlah tenaga kerja divaksinasi. Bagaimanapun, jumlah ini tidak termasuk mereka yang bekerja sendiri.
Mulai 15 Januari ini, hanya pekerja yang mendapat vaksin lengkap, disahkan secara perubatan tidak boleh menerima vaksin atau pulih daripada Covid-19 dalam tempoh 180 hari, boleh pulang ke tempat kerja.
Mereka yang tidak divaksinasi atau belum lengkap, tidak akan dibenarkan kembali ke tempat kerja walaupun keputusan ujian Covid-19 adalah negatif.
Pekerja yang belum lengkap divaksinasi boleh ke tempat kerja dengan syarat, keputusan ujian adalah negatif dan perlu melengkapkan vaksinasi menjelang 31 Januari depan.
“Kita telah melihat kemunculan varian Omicron yang lebih mudah berjangkit dan bersama varian Delta, boleh meningkatkan dengan ketara jangkitan Covid-19 berbanding setahun lalu.
“Pekerja yang tiada vaksinasi, terutama mereka yang berumur jika dijangkiti Covid-19 akan meningkatkan tekanan terhadap keupayaan penjagaan kesihatan dalam beberapa bulan akan datang,” mengikut kenyataan MOM.
Mengikut MOM, majikan juga boleh menyusun semula pekerja yang tidak divaksinasi untuk melakukan kerja yang boleh dilakukan dari rumah dengan imbuhan bersesuaian atau diberikan cuti tanpa gaji dengan persetujuan bersama.
Sebagai jalan terakhir selepas meneliti pilihan yang ada, MOM berkata, syarikat boleh membuang pekerja dengan notis mengikut kontrak pekerjaan.
Bagi pekerja yang disahkan dari segi perubatan tidak boleh divaksinasi mengikut Program Vaksinasi Kebangsaan, mereka boleh kembali ke tempat kerja, tetapi majikan boleh mempertimbangkan supaya mereka bekerja dari rumah.
Mereka juga boleh ditempatkan dengan pekerjaan bersesuaian untuk bekerja dari rumah, manakala pekerja wanita yang mengandung juga digalakkan menerima vaksin. – HARAKAHDAILY 28/12/21




















