Bantu mangsa banjir kerana dekat di hati

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

JELEBU:
Bantuan yang diberikan oleh PAS Kawasan Masjid Tanah kepada mangsa banjir di Kuala Klawang bukan sahaja kerana Negeri Sembilan dekat dari segi lokasi tetapi sangat dekat di hati, kata Yang Dipertuanya, Ustaz Imran Abdul Rahman.

Menurut beliau, program itu adalah inisiatif Khidmat Malaysia Kawasan Masjid Tanah yang dipengerusikan oleh Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Azmi Sambul.

“Hari ini kita datang ke Kuala Klawang ini dengan membawa sedikit barangan keperluan untuk disumbangkan dan diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir di sini 

- Advertisement -

“Bantuan dalam bentuk makanan, selimut toto, kain pelekat, kain batik, baldi, pakaian dan juga wang tunai. Sumbangan ini tidak banyak. Tapi diharapkan dapat meringankan beban mangsa,” ujar beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily usai program edaran bantuan banjir yang diedarkan terus ke rumah mangsa-mangsa banjir melibatkan Kampung Ulu Jelebu, Sawah Liat dan Bandar Tinggi, di sini, semalam.

Tambahnya lagi, pada program itu juga pihak Khidmat Malaysia kawasan turut mendapatkan gambaran tentang keperluan mangsa-mangsa banjir bagi memudahkan misi bantuan seterusnya.

“Insya-Allah, ini baru permulaan. Kita akan usahakan lagi bantuan berdasarkan maklum balas dan penelitian yang kita buat hari ini.

“Dengan maklumat itu insya-Allah kami akan cuba sediakan apa yang kami termampu. Dan nanti kami akan datang semula untuk mengedarkan bantuan-bantuan ini, insya-Allah,” kata beliau lagi.

“Walau pun kami di Masjid Tanah ini juga menghadapi musibah banjir yang teruk di Lubok China. Namun kita tetap cari ruang untuk ke Negeri Sembilan membantu,” ujar beliau.

Konvoi bantuan Khidmat Malaysia PAS Kawasan Masjid Tanah itu melibatkan dua buah kenderaan pelbagai guna dan sebuah van bertolak dari Melaka kira-kira jam 8.30 pagi dan tiba di PASTI Al-Biruni, Taman Bukit Kempas, Kuala Klawang sekitar jam 10.30 pagi sebelum memulakan aktiviti pengedaran bantuan. – HARAKAHDAILY 28/12/2021

- Advertisement -