
KUALA LUMPUR: Isu keselamatan menjadi keutamaan pihak berkuasa sebenarnya susulan banjir yang berlaku di Taman Sri Muda, kata Pengurus Operasi Khidmat Malaysia Negeri Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin.
Menurutnya, ramai yang salah faham mengenai tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika mengawal kemasukan orang ramai ke kawasan banjir Taman Sri Muda.
“Alhamdulillah, setelah pihak Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff hadir ke lokasi semalam.
“Kami telah mencapai persetujuan dengan pihak berkuasa PDRM di mana semua bantuan yang ingin disampaikan kepada mangsa banjir akan diselaraskan oleh pihak JKM melalui Khidmat Malaysia di sini,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya telah membuka dua khemah bagi memudahkan urusan semua pihak menghantar dan mengambil barang dan makanan yang diperlukan mangsa.
Jelasnya, pihak PDRM sebenarnya tidak ada halangan mana-mana pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau perseorangan untuk membantu, cuma keselamatan semua pihak menjadi keutamaan apabila sebelum ini laluan jalan yang ada telah terhalang oleh kenderaan awam.
Ini, tambah beliau seterusnya menyukarkan pihak berkuasa dan ambulans untuk keluar masuk membawa mangsa banjir dan pesakit yang dalam kecemasan.
Katanya lagi, kemasukan bot dan sampan orang awam di kawasan banjir tersebut sebenarnya telah menyukarkan lagi operasi menyelamat pihak berkuasa apabila ramai yang hadir hanya sekadar mahu mengambil gambar dan membuat liputan sosial media sehingga keutamaan menyelamatkan mangsa banjir terganggu dan seterusnya menyusahkan pihak NGO dan orang lain yang ikhlas ingin membantu.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan semua pihak terutama orang awam yang ingin menghantar barangan bantuan dan sumbangan digalakkan meletakkan kenderaan di luar dan membawa barang bantuan dan sumbangan tersebut di khemah JKM Khidmat Malaysia yang telah disediakan.
“Tidak perlu masuk ke kawasan banjir yang bahaya yang mana setakat ini telah merekodkan tujuh kematian dan jumlah kes pecah rumah yang tidak terkira.
“Insya-Allah pihak Khidmat Malaysia dengan kerjasama petugas anggota Jabatan Amal Malaysia bersedia membantu anda untuk menghantar bantuan barangan dan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di dalam kawasan Taman Seri Muda ini dengan mengunakan bot pihak berkuasa PDRM, APM dan JBPM,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/12/2021




















