Penonton ‘pengsan’ di majlis santai anak muda

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA NERUS:
Program santai petang menjadi kecoh apabila seorang anak muda dalam lingkungan awal 20-an tiba-tiba terjatuh dari tempat duduknya.

Anak muda berkenaan bersama tetamu yang lain ketika itu mengikuti program Santai Anak Muda yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mizan, Gong Badak.

Berikutan itu majlis terpaksa dihentikan seketika bagi membantu anak muda berkenaan yang kelihatan tidak sedarkan diri.

- Advertisement -

Serentak itu sebuah ambulans yang disediakan sejak awal lagi menghadapi pelbagai sebarang kemungkinan masuk ke kawasan program untuk membawa anak muda terbabit.

Bagaimanapun ia rupa-rupanya hanya sebagai gimik Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang diatur khusus untuk program terbabit.

Tujuannya sebagai pendedahan kepada orang ramai bagaimana JAM bertindak jika berlaku kecemasan khususnya ketika pandemik Covid-19. Gimik berkenaan dikendalikan JAM Selangor.

Terdahulu majlis meriah dengan kehadiran anak-anak muda sekitar jam 3 petang. Program kuiz juga berjaya menambat hati anak muda apabila soalan yang dikemukakan kepada peserta berkisar sejarah PAS dalam tempoh 70 tahun.

Soalan juga turut berkaitan penubuhan Alternative Riding Club (ARC) dan nama-nama Menteri Besar di negeri yang ditadbir PAS dan lain-lain lagi.

Program itu dikendalikan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayan dan Sukan (DACS), Muhammad Faizuddin Mohd Zai.

Program santai pada waktu petang lebih meriah dengan kehadiran Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pada petang itu juga turut diadakan Himpunan Semut Merah, Konvoi Mega Motosikal dan pameran kenderaan 4×4.

Bagaimanapun bagi memenuhi SOP, setiap peserta hanya berada di bawah khemah program secara berperingkat-peringat dan tempoh ditetapkan. – HARAKAHDAILY 11/12/2021

- Advertisement -