Kementerian Pendidikan bantu murid tidak kuasai 3M

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Program Pemulihan Khas kepada murid Tahap Satu, iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga yang menghadapi masalah menguasai kemahiran asas 3M ( membaca, menulis dan mengira).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon, berkata program itu adalah usaha kerajaan bagi memastikan aspek literasi dan numerasi mendapat keutamaan dalam pendidikan murid Tahap Satu.

- Advertisement -

Katanya, program itu membolehkan guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik, memberi bimbingan bersesuaian kepada murid terbabit sehingga mereka dapat menguasai kemahiran berkenaan.

“KPM juga memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN) untuk memastikan murid sekolah rendah menguasai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan Tiga dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Pelaksanaan PLaN adalah sebagai program sokongan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menyeluruh untuk membantu memantapkan kemahiran 3M,” katanya menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Mohamad Abduh meminta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU) bagi memperkukuhkan numerasi dan literasi memberikan tumpuan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu bermula September lalu, Hang Soon berkata KPM melaksanakan KPMPerkasaKU dengan antara aspek yang diberi penekanan ialah pemugaran literasi dan numerasi, selain penekanan terhadap penglibatan ibu bapa dalam menyokong pelaksanaan PdP. 

“Program ini dirangka bagi memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi melalui PdP secara bersemuka atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)  yang bersesuaian dengan tahap keupayaan murid untuk mengikuti pembelajaran seterusnya.

“Ketika ini, murid Tahap Satu yang telah dikenal pasti di sekolah rendah kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman dibekalkan dengan Modul Asas Literasi dan Modul Asas Numerasi bagi mempertingkatkan penguasaan 3M mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan yakin langkah strategik yang dilaksanakan dapat memastikan murid menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi dalam keadaan yang selamat dan mendapat akses kepada pembelajaran berkualiti. – HARAKAHDAILY 6/12/21

- Advertisement -