8 strategi KWSP bantu ahli cukup simpanan persaraan

Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Indera Mohd Shahar Abdullah
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli dan majikan wajib membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga umur 75 tahun jika ahli masih bekerja.

Selain itu, bagi menggalakkan ahli terus kekal aktif bekerja dan majikan mengambil pekerja berumur 60 tahun dan ke atas, KWSP tidak mengenakan apa-apa caruman kepada pekerja, manakala majikan diwajibkan mencarum hanya sebanyak empat peratus.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun, mempunyai simpanan di akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.

Menurutnya, dua tindakan itu adalah antara penambahbaikan berterusan KWSP bagi membantu ahli mempunyai simpanan yang mencukupi untuk persaraan mereka.

Katanya, penambahbaikan lain ialah pengeluaran umur 55 tahun dan 60 tahun yang lebih fleksibel dengan ahli boleh membuat pilihan bayaran pengeluaran, sama ada secara sekali gus, bulanan, dividen tahunan sahaja atau apa-apa jumlah pada bila-bila masa.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan ahli memilih bayaran pengeluaran secara berkala atau bulanan. Oleh itu, simpanan ahli akan terus menerima dividen tahunan dan dapat bertahan lebih lama,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah meminta Menteri Kewangan menyatakan pelan strategi kementerian untuk menyokong keselamatan persaraan rakyat yang semakin kecil berikutan kebenaran pengeluaran wang KWSP dalam pelbagai skim di bawah pakej rangsangan ekonomi.

Mohd Shahar berkata, KWSP juga memperkenalkan i-Saraan bagi membolehkan golongan yang bekerja sendiri atau mereka yang tiada pendapatan tetap, mencarum secara sukarela kepada KWSP dan sebagai insentif, kerajaan menyumbang 15 peratus daripada caruman, tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun.

Menurutnya, turut diperkenalkan ialah I-Suri untuk menjaga kebajikan golongan wanita, terutama suri rumah dengan matlamat menyediakan simpanan untuk kegunaan hari tua.

Katanya, KWSP juga akan memperkenalkan pengeluaran baharu pada tahun ini untuk membolehkan ahli membeli produk insurans atau takaful, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2021. Pengeluaran ini dijangka akan memberi manfaat untuk perlindungan diri sendiri dan keluarga bagi penyakit kritikal dan kematian.

“Malah, KWSP menyediakan khidmat nasihat secara percuma berhubung perancangan dan pengurusan simpanan persaraan melalui Perkhidmatan Nasihat Persaraan (RAS) sejak tahun 2014.

“Belanjawanku telah dilancarkan, iaitu satu panduan perbelanjaan minimum bulanan atas kategori dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah untuk membantu perancangan perbelanjaan peribadi dan keluarga,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus meneliti kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya. – HARAKAHDAILY 24/11/21

- Advertisement -