
Oleh SARINA ISMAIL
KUALA KEDAH: PAS Kuala Kedah meninjau beberapa tempat yang sesuai untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan sekiranya keadaan banjir terus meningkat.
Namun kata Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi, sehingga sekarang PPS sedia ada belum dibuka, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil sekiranya keadaan banjir semakin serius.
Beliau juga berkata, PAS Kuala Kedah turut mengedarkan 180 pek keperluan harian kepada mangsa banjir yang terlibat.
Selain itu menyediakan 200 pek makanan siap dimasak kepada mangsa-mangsa banjir yang terbabit.
“Misi bantuan mangsa banjir di Kuala Kedah akan diteruskan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala. Keadaan sekarang masih lagi terkawal.
“Beberapa kampung khususnya di Dun Anak Bukit agak terjejas air memandangkan paras semakin naik menjelang tengah malam semalam, walaupun surut sebelumnya,” katanya ketika dihubungi.
Antara kampung yang terjejas iaitu Kampung Alor Senjaya, Alor Gunung, Cegar, Alor Goncar dan Alor Madi.
Menurutnya juga kejadian banjir di Dun Anak Bukit bukan semata-mata berpunca hujan lebat, sebaliknya aliran air dari Padang Terap dan Pokok Sena serta keadaan laut pasang.
Ahmad turut mengingatkan mangsa banjir dan petugas menjaga keselamatan diri dan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan negara masih belum pulih daripada pandemik Covid-19. – HARAKAHDAILY 3/11/2021




















