Gerakkan kempen wakaf komersial secara besar-besaran

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus mencadangkan kepada Kementerian Kewangan (MoF) supaya memperuntukkan sejumlah dana kepada Yayasan Wakaf Malaysia bagi menggerakkan kempen wakaf komersial di negara ini secara besar-besaran.

Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, inisiatif tersebut merupakan antara medium pendanaan dalam usaha memastikan ekonomi negara sentiasa berkembang.

- Advertisement -

Katanya, selain fungsi Yayasan Wakaf sebagai ejen mempromosi wakaf komersial kepada rakyat, penglibatan kementerian serta agensi kerajaan perlu digerakkan secara bersepadu agar menjadi contoh tauladan kepada rakyat secara keseluruhan.

“Saya minta wakaf ini dikembangkan lagi di peringkat kementerian. Sebagai contoh, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan boleh mewujudkan wakaf pendidikan universiti dan sekolah.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh mewujudkan wakaf kediaman, Kementerian Kesihatan Malaysia pula dengan wakaf hospital, ubat-ubatan dan klinik. Kementerian Pertahanan mewujudkan wakaf keselamatan, senjata dan pembangunan.

“Wakaf untuk Kementerian Pelancongan pula, pusat pelancongan bersejarah. Bagi Kementerian Belia dan Sukan, wakaf belia, padang bola dan kompleks sukan boleh diwujudkan,” katanya ketika perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Khairuddin juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada kementerian yang menyahut usaha murni kerajaan membudayakan amalan berwakaf.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang telah menggerakkan wakaf air bersama Yayasan Wakaf Malaysia,” katanya.

Beliau berharap usaha KASA akan mendorong kementerian lain juga berbuat demikian demi kebaikan semua pihak. – HARAKAHDAILY 2/11/21

- Advertisement -