RM1.5 bilion untuk imarah syiar Islam

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Aspek pengimarahan syiar Islam menjadi tumpuan dalam Bajet 2022 apabila kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata di bawah payung pendidikan Islam, kerajaan akan melaksanakan tiga inisiatif.

- Advertisement -

Katanya, pertama ialah membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM65 juta.

“Inisiatif kedua ialah meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir.

“Ketiga ialah menyalurkan pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 untuk manfaat 70,000 orang Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru KAFA,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan terus memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah.

Katanya, bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani dan pengusaha industri halal serta membantu mereka jika ditimpa bencana, kerajaan akan menyalurkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

Selain itu, katanya syarikat korporat dan individu dialu-alukan untuk mewakafkan harta mereka dalam tabung ini.

Sementara itu, katanya daripada peruntukan RM1 bilion untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah, sebanyak RM140 juta disalurkan kepada JAKIM bagi menyelenggara, antaranya sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar, iaitu meningkat berbanding RM100 juta pada tahun ini. – HARAKAHDAILY 29/10/21

- Advertisement -