
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam Bajet 2022 memperkenalkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang akan menyalurkan bantuan sebanyak RM2,000 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang 2,500 ringgit sebulan.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800, iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebelum ini.
Katanya, kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.
“Selain itu, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion, iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR.
Katanya, kerajaan memperkenalkan BKM dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar terkesan, diberi lebih tumpuan.
“Pembaharuan ini telah mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat.,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/21




















