RM10,710,000 diperuntuk bagi program Dapur It’am

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berharap masjid dan surau menjadi tempat untuk umat Islam bersosial dan pemudah cara kepada masyarakat.

“Kita terjemahkan sungguh-sungguh makna hablumminallah wa hablumminannas (jaga hubungan dengan Allah, dan hubungan dengan manusia),” katanya menerusi laman Facebook beliau, semalam.

Beliau menyatakan demikian sempena Majlis Pelancaran Dapur It’am 6.0, semalam di mana sebelum ini sudah diwujudkan Gerobok Rezeki.

- Advertisement -

Menurutnya, program Dapur It’am merupakan program agihan makanan tengah hari yang akan diedarkan kepada golongan yang disasarkan dalam kalangan penduduk terpilih di Projek Perumahan Rakyat dan Awam (PPR/PPA), B40, asnaf dan petugas barisan hadapan yang disediakan oleh petugas masjid dan surau.

“Bagi pelaksanaan program ini, peruntukan sebanyak RM10,710,000 diberikan kepada 70 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.

“Proses agihan ini akan dilakukan setiap Isnin hingga Ahad bermula 4 Oktober 2021 hingga 6 Mac 2022 mengikut SOP yang ditetapkan. Insya-Allah,” katanya.

Idris mengharapkan dengan jawatan beliau kini, bersama agensi-agensi Islam boleh berusaha untuk meringankan kesusahan orang lain.

“Sekurang-kurangnya atas meja rakyat kita mesti ada makanan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua agar dapat menghayati hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad yang bermaksud: “Bukanlah orang yang beriman jika dia kenyang, sedangkan jiran sebelahnya lapar”. – HARAKAHDAILY 5/10/2021

- Advertisement -