
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), minggu lalu, mengesyorkan kepada kerajaan untuk membenarkan penggunaan kaedah vaksin campuran atau heterologi bagi pemberian suntikan penggalak COVID-19 yang dijadual bermula bulan ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata jawatankuasa kecil teknikal yang dipengerusikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy, mengesyorkan perkara itu kepada JKJAV untuk dos penggalak yang akan dimulakan Oktober ini.
Katanya, heterologi ialah vaksin yang boleh dicampurkan, iaitu bukan vaksin yang sama seperti dos pertama dan kedua yang digunakan sebelum ini.
“Kajian mengenai keselamatan ini (heterologi) telah dilaksanakan dan disyorkan untuk kita teruskan,” katanya ketika sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu, Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah perancangan kesiapsiagaan kementerian untuk menangani kemunculan varian baharu Covid-19 yang membimbangkan.
Khairy berkata, antara perancangan dan kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan Malaysia adalah dengan meningkatkan kawalan di pintu masuk antarabangsa, melakukan analisis penjujukan genom, program vaksinasi, penambahan sumber, pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) dan saringan.
Sementara itu setakat 30 September lalu, katanya hasil analisis penjujukan genom terhadap 1,312 sampel menunjukkan bahawa sebanyak 1,246 (94.9%) telah dikenal pasti sebagai varian Delta, manakala 11 sampel dikenal pasti sebagai Beta dan 55 yang lain tergolong dalam varian bukan membimbangkan (VOC).
“Sampel yang dipilih adalah dari semua negeri dan sehingga kini, tiada varian Mu dan Lambda dikesan daripada sampel di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/21




















