Perubahan monsun turut terkesan di Kelantan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT: Menjelang musim tengkujuh tidak lama lagi, setiap petang di Kelantan boleh dikatakan sering berlaku ribut dan hujan lebat.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, perubahan monsun yang melanda negara ini sekarang turut terkesan di Kelantan.

- Advertisement -

“Waktu petang sering berlaku hujan yang kadang-kadang disusuli angin ribut dan boleh merosakkan kediaman, malah nyawa manusia,” katanya ketika ditemui selepas melawat dua rumah penduduk yang rosak akibat dipukul ribut, dua hari lalu.

Rumah terbabit terletak di Kampung Laut dan Pasir Pekan Hilir. Beliau yang juga Adun Pasir Pekan turut menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada mangsa ribut berkenaan.

Oleh itu menteri besar turut mengingatkan rakyat di negeri itu supaya berwaspada dan mengambil langkah menebang pokok-pokok besar yang terletak berhampiran kediaman.

Tambahnya, langkah itu penting bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini seperti pokok tumbang ke atas rumah mereka.

Katanya, kejadian berkenaan boleh mengancam nyawa mereka terlibat dan memerlukan kos yang agak besar untuk dibaikpulih.

“Jadi berpakatlah dengan jiran-jiran bergotong royong menebang pokok bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/9/2021

- Advertisement -