
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bukan bertujuan untuk bersaing dengan Kerajaan Pulau Pinang, sebaliknya lebih kepada saling lengkap melengkapi.
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak boleh diperbesarkan lagi kerana kekurangan tanah.
“KXP menjadi pelengkap kerana mengikut unjuran 2018 bilangan pengguna lapangan terbang meningkat kepada 20 juta orang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) pada sidang Dun Kedah hari ini.
Sedangkan katanya maksimum pengguna di Lapangan Terbang Bayan Lepas hanya 12 juta dan ia tidak mampu untuk menampung unjuran dianggarkan meningkat dua kali ganda daripada jumlah sekarang.
“Bukan sahaja projek KXP tetapi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Muda pun kurang mengembirakan negeri jiran dan ditentang oleh mereka,” ujarnya.
Sanusi juga berkata, pemimpin Kerajaan Pulau Pinang perlu menyedari negeri itu adalah tanah yang pernah dipajak oleh kerajaan lama Kedah suatu ketika dahulu.
Malah Kedah sebagai jiran yang baik akan sentiasa menjaga kebaikan jirannya seperti yang dianjurkan Islam.
“Negeri baik akan pastikan jirannya tenang dan selesa tetapi sekiranya jirannya jahat suka membuuat andaian pelik-pelik, ada hak untuknya mempertahankan diri dan buat komen balas.
“Saya memberi jaminan Pulau Pinang akan aman selagi berjiran dengan Kedah yang dipimpin oleh pemimpin sekarang,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 21/9/2021




















