
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
TUMPAT: Orang ramai di Kelantan dirayu agar tampil menderma darah bagi menampung keperluan darah yang semakin berkurangan di hospital-hospital di negeri itu, termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab ll.
Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub menyifatkan derma darah sebagai suatu jihad yang amat wajar dilakukan.
“Cabang jihad ni banyak termasuk menderma darah kerana ia boleh menyelamatkan nyawa manusia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ‘Amal Mega Blood Donation 3.0’ yang diadakan di Dewan Sriti Tahfiz Ibadurrahman, Kota SPP Warisan, di sini, hari ini.
Hadir sama pada program itu, ADUN Pengkalan Kubor, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad; Pengarah HPRZ ll, Dato’ Dr Selasawati Ghazali; Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Husian dan Pengarah Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kelantan, Mohd Aliman Ismail.
Menurut Ahmad lagi, beliau difahamkan sebanyak 1,383 bag darah berjaya dikumpul melalui program amal JAM seluruh Kelantan
“Usaha ini amat baik dan kita bersyukur dengan inisiatif ini demi menjaga keselamatan dan nyawa pesakit dengan izin Allah.
“Ia adalah antara cabang-cabang jihad yang Allah janjikan ganjaran pada mereka yang melakukannya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau merayu orang ramai, khususnya yang memiliki darah jenis B supaya tampil untuk menyumbang darah mereka memandangkan darah jenis tersebut amat berkurangan di hospital-hospital.
“Kita ada sembilan hospital di Kelantan, tiga daripadanya hospital swasta. Jadi, kita merayu supaya orang ramai yang berkelayakan agar tampil menderma darah,” ujarnya.
Sementara itu Aliman berkata, jumlah 1,383 bag darah yang diperoleh di seluruh Kelantan itu tidak termasuk 144 bag darah yang diperoleh daripada program derma darah yang diadakan di Bachok pada minggu lepas.
Katanya, sebanyak 158 bag darah berjaya dikumpul di Tumpat dan melalui program yang sama diadakan di Tanah Merah pada hari ini pula berjaya mengumpul sebanyak 69 bag darah.
Menurutnya, bagi membantu masalah kekurangan bekalan darah yang dihadapi hospital di seluruh Kelantan, pihaknya akan memberikan bantuan sedaya mungkin.
“Kita merayu supaya setiap kali pada program yang kita adakan, diharap anak-anak muda atau mereka yang berkelayakan supaya dapat menderma darah,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/9/2021




















