
BERBAGAI usaha dan ikhtiar dibuat untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ke-8. Setelah 15 MP Umno menarik diri dari kerajaan ternyata kerajaan pimpinan beliau sudah kehilangan majoriti di Dewan Rakyat lantas beliau tidak banyak pilihan melainkan meletakkan jawatannya.
Di saat-saat akhir diusahakan rundingan dengan pihak pembangkang khasnya dari PH untuk menyelamatkan kerajaannya dengan pelbagai tawaran yang sebelum ini tidak pernah berlaku dalam sejarah demokrasi berparlimen dan politik di Malaysia.
Antara tawaran yang diajukan oleh Muhyiddin kepada pembangkang ketika itu antaranya: seperti peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan, jawatan Ketua Pembangkang setaraf jawatan Menteri, penyertaan menyeluruh pembangkang dalam Pelan Pemulihan Negara, menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal, undang-undang lompat parti, reformasi Parlimen rentas parti dengan menambah jumlah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, pelaksanaan Undi 18; kesemuanya bakal memberikan pembangkang suara di dalam kerajaan dan syaratnya mereka memberikan undi percaya pada Muhyiddin.
Walau bagaimanapun PH setelah berunding akhirnya menolak tawaran itu atas alasan kononnya ia tidak ikhlas dan sepatutnya dibuat lebih awal lagi. Ada yang berpandangan di saat akhir itu PH menyangkakan jika Muhyiddin letak jawatan maka blok merekalah yang akan naik dan bakal menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Cukup rakus politik PH.
Ternyata sekali lagi bacaan politik PH khasnya Anwar Ibrahim tersilap, kerana apabila Muhyiddin meletakkan jawatannya, parti-parti yang sebelumnya di belakang Muhyiddin iaitu PN, BN, GPS dan lain-lain bukannya berpecah sebagaimana sangkaan PH, sebaliknya mereka dapat bermuafakat dan bersetuju mengangkat Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakub, Naib Presiden Umno sebagai Perdana Menteri ke-9 demi mengelakkan kerajaan ini jatuh ke tangan yang lain.
Apabila Yang di-Pertuan Agong memberikan perkenan Baginda yang selebihnya menjadi sejarah dan kini naiklah kerajaan baru, kerajaan keluarga Malaysia yang diketuai Perdana Menteri ke-9 dengan dukungan padu parti-parti yang sama di belakang Muhyiddin dahulu.
Permuafakatan di saat akhir ini telah membantutkan hasrat dan cita-cita Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri malah dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan bawah Perdana Menteri ke-9 segera beri tumpuan pada peperangan menghadapi COVID-19 selain berusaha memulihkan ekonomi negara, Malaysia bakal menuju ke arah kestabilan politik dan sinar harapan pemulihan yang bermakna buat rakyat dan negara.
Ternyata Dato Sri Ismail tidak membuang masa dan cekap dapat membaca hasrat Yang di-Pertuan Agong dengan memberi fokus terhadap kebajikan dan masa depan rakyat. Perdamaian politik segera diusahakan dengan pihak pembangkang agar mereka bersama mengambil bahagian dalam misi memulihkan negara ini, dan persepakatan bersama PH merupakan inisiatif awal beliau demi mengembalikan kestabilan politik.
Ia bukan lagi sebagaimana tawaran Muhyiddin dulu yang ditolak PH, tiada Kerajaan Perpaduan tetapi penyertaan blok pembangkang dalam pelan dan program spesifik yang menjadi keutamaan kerajaan iaitu pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara serta Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19. Duduklah bersama dalam badan-badan ini untuk memerah otak dan membantu kerajaan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Dengan ini tiadalah lagi perbalahan dan perebutan kuasa yang merugikan masa dan kebajikan rakyat, sebaliknya masing-masing memain peranan masing-masing dengan profesional dan sebaik mungkin.
Dengan persetujuan dari pihak pembangkang, Perdana Menteri ke-9 terus melangkah gagah ke hadapan dengan membentuk Kabinetnya dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan baru ini tidak harus menoleh ke belakang lagi dan sepatutnya meninggalkan sahaja segala perselisihan dan perbalahan antara parti di masa lampau. Kini masanya untuk mengorak langkah ke hadapan, kembalikan kestabilan politik dan angkat kembali martabat Malaysia setaraf dengan negara membangun yang lain.
Kemampuan membina perpaduan politik antara parti-parti dalam kerajaan sehingga mampu menjulang satu permuafakatan baru adalah pada tangan Perdana Menteri ke-9 hari ini. Rakyat Malaysia khasnya umat Melayu Islam meletakkan harapan tinggi agar Dato Seri Ismail dengan pengalamannya yang luas, selain pernah terlibat aktif dalam menjalin hubungan politik bersejarah antara PAS dan Umno sehingga terbinanya Muafakat Nasional mampu membina satu jajaran baru politik perpaduan ummah yang dapat mengembalikan maruah agama, bangsa dan negara kita.
Gunakanlah jawatan ini dan kestabilan politik yang bakal terbina untuk menyatukan kesemua parti-parti yang mendukung beliau agar dapat bersatu memikul amanah menyelamatkan negara dari bahana pandemik dan kegawatan ekonomi ini. Jika berjaya rakyat akan kekal bersama kerajaan dan Perdana Menteri ke-9 sehinggalah selepas PRU ke-15 nanti.
Ini masanya untuk menjuarai perdamaian sesama keluarga parti pemerintah. Umno saya yakin sudah nampak masa depan politik yang cerah di bahu Perdana Menteri baru ini, namun tuntutan politik hari ini mahukan jajaran perpaduan ummah, lantas Umno dan BN sebagai blok yang terbesar perlulah membina kuasa politik baru dengan kawan-kawan yang ada. Politik 2021 ini dan seterusnya bukan lagi sebagaimana yang lama. Ia perlukan ‘adjustment’ dan perubahan dari acuan yang lama ke arah yang lebih inklusif dan bertenaga.
Model Muafakat Nasional adalah model yang dialu-alukan rakyat dan terbukti efektif dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil sebelum ini antaranya yang turut melihatkan penglibatan aktif Dato Sri Ismail sendiri. Perluaskanlah model ini dengan melibatkan semua yang duduk bawah payung keluarga Kerajaan Malaysia hari ini. Tidak rugi kita bertolak ansur sesama keluarga, elakkan untung secupak rugi segantang, menang sorak kampung tergadai, akhirnya meratap nangis anak-anak bangsa selama-lamanya.
Dengan izin Allah S.W.T apabila tercapainya imuniti kelompok dalam waktu terdekat ini, kerajaan keluarga Malaysia ini akan terus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat dan sudah pastilah Perdana Menteri ke-9 akan ketika itu akan mendapat tempat di hati mereka.
Semoga kukuhlah kuasa politik Melayu Islam dengan gabungan parti-parti politik Melayu Islam terbesar dalam negara sebagai teraju memayungi keluarga besar Malaysia, berilah keyakinan dan sokongan kepada Perdana Menteri ke-9 kita. Bersama kita selamatkan Malaysia.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 1/9/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1587585684914095/




















