
KOTA BHARU: Sebelum ini Ahli Parlimen Tumpat Dato’ Che Abdullah Mat Nawi mengadakan kempen dari rumah ke rumah bagi memastikan masyarakat nelayan di jajahan itu mendaftar program vaksinasi.
Pada kempen tersebut dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II membantu mengisi borang pendaftaran.
Beliau turut dibantu penghulu dan petugas Pusat Ahli Parlimen pada kempen tersebut.
Dan hari ini pula Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan menawarkan saguhati sebanyak RM20 bagi mereka yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Bayaran saguhati itu akan diberi bermula 30 Mei ini dengan mengemukakan tuntutan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Bharu, Suhaimi Mat Zin berkata, insentif itu dibayar kepada penduduk yang tinggal di kawasan parlimen Kota Bharu.
“Ketika mengemukakan tuntutan mereka perlu membawa kad pengenalan untuk semakan dan pengesahan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi Mysejahtera,” katanya di sini.

Menurutnya juga tuntutan itu boleh dibuat di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu dan boleh menghubungi talian 09-7473688.
Selain itu kata beliau Pusat Khidmat Parlimen Kota Bharu juga menyediakan perkhidmatan kenderaan bagi mereka tidak kemudahan itu untuk menghadiri tempat suntikan vaksin. – HARAKAHDAILY 28/5/2021




















