Juara Hijrahkan Laguku: Shahir nafi bergelar jutawan

- Advertisement -

Nama bekas ahli kumpulan nasyid Saujana, Shahir Zawawi kembali menjadi sebutan selepas mula menyertai Hijrahkan Laguku pada November 2021. Sebelum dia akhirnya diumumkan sebagai juara program realiti hiburan Islamik anjuran bersama TV AlHijrah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu pada 8 Januari tahun ini.

Mengimbas semula sejurus kemunculan Shahir dalam Hijrahkan Laguku, juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada tahun 2020 itu dilaporkan telah menghilangkan diri dari radar industri hiburan tempatan selama kira-kira empat tahun.

Sehubungan itu, kemunculan Shahir, 34, dalam Hijrahkan Laguku bukan sahaja menarik perhatian peminat seni tanah air tetapi juga pihak media yang tertanya-tanya ke mana gerangan dirinya menghilang. 

- Advertisement -

Sementelah menurut pihak TV AlHijrah sebelum ini, kesemua lapan peserta yang bertanding dalam program itu yang merupakan gabungan penyanyi lama dan baharu, termasuk Shahir dipilih khusus atas beberapa kriteria terutamanya berdasarkan kisah hijrah masing-masing yang unik, yang mampu memberi impak dan contoh positif untuk mendorong audiens menjadi khalifah Allah.

Selain Shahir, turut bertanding dalam Hijrahkan Laguku ialah Dato’ Nash (Lefthanded), Rahmad Mega, Iwan Shahman, Zack Kool, Pangeran Adam, Zaf VE dan Mark Adam yang dipilih menyertai program itu juga atas faktor bakat, karisma, aura dan kekuatan mereka dalam bidang nyanyian.

Shahir bersama tiga finalis lain Hijrahkan Laguku (dari kiri), Iwan, Nash dan Mark Adam.

Justeru, di samping berita anak kelahiran Perak itu menjuarai Hijrahkan Laguku dengan ganjaran kemenangan berupa wang tunai RM100,000, media tempatan pada Januari tahun ini turut melaporkan Shahir pernah menjadi mangsa penipuan dalam perniagaan hingga mengalami kerugian mencecah RM12 juta.

Lumrah bergelar individu yang dikenali ramai, mula kedengaran komen orang ramai adakah Shahir kini sudah bergelar jutawan memandangkan jumlah kerugian yang dialaminya itu mencecah jutaan ringgit.

Selain itu, ramai juga yang tertarik dengan kebolehan Shahir dalam mengalunkan lagu-lagu melalui Hijrahkan Laguku dengan bersulamkan alunan bacaan al-Quran, dan ingin mengetahui lebih lanjut bagaimana Shahir merealiasikannya.  

Mengakui dirinya kini lebih tenang dalam menjalani rutin kehidupan seharian, Shahir bakal muncul dengan single terbaharunya menjelang Februari ini.

Sehubungan itu kru HarakahDaily, YUSMAN AWANG, SHAHIRAH SALEH serta jurugambar, MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE berpeluang mengadakan temu bual bersama Shahir di gedung beli belah One Utama, Kuala Lumpur baru-baru ini. 

Ikuti sedutan temu bual bersama Shahir ini termasuk mengenai komen beliau mengenai statusnya yang dikatakan sudah bergelar jutawan dan kisah di sebalik kejayaannya menjuarai Hijrahkan Laguku.

Assalamualaikum, Shahir apa khabar sekarang? Apakah perasaan dan perbezaan yang dirasai Shahir selepas berjaya meraih juara program realiti Hijrahkan Laguku pada 2022, berbanding kira-kira 12 tahun dulu ketika Shahir bergelar juara program realiti, Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) pada 2010?

Waalaikumussalam, alhamdulillah saya baik-baik sahaja. Selepas hampir 12 tahun lalu saya memulakan karier seni melalui AF8, jadi perbezaan selepas saya baru-baru ini bergelar juara program Hijrahkan Laguku, apa yang boleh saya katakan adalah Allah bagi kedua-duanya nikmat, maksudnya kemenangan sebagai juara kedua-dua program realiti itu.

Tetapi kali ini (melalui kemenangan dalam Hijrahkan Laguku) saya rasa perbezaannya ialah saya tidak mengejar kemenangan. Sebab memang awal lagi, tujuan menyertai program berkenaan adalah dengan cuma dengan satu niat, iaitu hendak menggunakan platform nyanyian untuk menyampaikan sesuatu.

Kemunculan Shahir melalui program realiti TV anjuran bersama TV AlHijrah dan YADIM, Hijrahkan Laguku sejak November 2021 menjadikan nama Syahir kembali menjadi sebutan ramai.

Sebab saya mungkin tak sama macam orang lain, contohnya ada insan yang petah berkata-kata, macam dalam parti PAS pula ada ramai ulama yang boleh menyampaikan mesej melalui kuliah, tetapi saya sebaliknya bukan pakar dalam bidang sebegitu.

Jadi, mungkin Allah pinjamkan sedikit suara saya ini, dan di sinilah saya hendak menggunakan kurniaan Allah ini dengan cara yang sebaik-baiknya. 

Maka, kalau kata 12 tahun dahulu, saya ‘pecah kepala’ untuk memikirkan bagaimana untuk membuat manusia itu kagum dengan kita sebagai makhluk bergelar manusia, tetapi hari ini apabila saya menyertai program Hijrahkan Laguku, saya berasa lebih tenang. 

Persamaannya untuk kedua-dua program realiti itu  ialah saya perlu berusaha gigih untuk hasilkan yang terbaik. Cuma kali ini, untuk Hijrahkan Laguku, saya ‘pecah kepala’ memikirkan  bagaimana untuk membuatkan manusia kagum dengan ayat-ayat Allah. Itulah perbezaannya.

Shahir menjawab segala persoalaan yang diajukan HarakahDaily buat dirinya dengan sikap terbuka dan telus.

Ketika mula-mula menyertai Hijrahkan Laguku sejak Nov 2021, apakah tekad Shahir memang nekad untuk menjuarai program realiti ini? 

Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk bergelar juara Hijrahkan Laguku. Bukan saya seorang tetapi kesemua penyanyi yang menyertai program berkenaan juga sebenarnya adalah dengan niat yang sama.

Kami mahu bersama dengan TV AlHijrah  yang mana pihak mereka sudi membuka ruang untuk kami anak seni, yang selama ini saya kira, ramai orang yang mungkin ada suatu sisi pandang yang dirasakan, ‘Kalau kita (artis) berhijrah, nanti TV sudah tidak panggil, sudah tiada job’. Jadi, mungkin ramai yang bimbang untuk berhijrah, kelak tiada pendapatan.

Tetapi saya rasa bagus apa yang TV AlHijrah lakukan ini. Ia membuka ruang seluas-luasnya untuk kita, jadi tak payah risau nak fikir: ‘kalau kalian hendak buat yang baik, kami di sini menyambut dan insya-Allah peluang itu sentiasa ada’. 

Jadi, apa yang dilaksanakan TV AlHijrah bersama YADIM ini sangat bagus untuk kami anak seni atau pengkarya seni agar ‘tanpa takut untuk berhijrah’.

Shahir samping Ustaz Zarifi yang banyak membantu dirinya sepanjang menjayakan Hijrahkan Laguku.

Boleh kongsikan siapakah yang membantu sepanjang proses menggubah semula lagu-lagu untuk didendangkan Shahir dalam Hijrahkan Laguku?

Dalam soal lagu, ada minggu memang pilihan kita sendiri dan ada juga minggu-minggu yang tertentu, kita diberi task, lagu yang kita pilih perlu sesuai dengan tema. Tetapi dari segi lirik dan susunan muzik memang kita perlu gubah sendiri. 

Ada orang lain atau Shahir sendiri yang menggubah semula lagu-lagu berkenaan?

Ya, saya dibantu sahabat saya. Kami sama-sama menggubah semula lagu-lagu berkenaan sebab kadang-kadang dalam masa tempoh seminggu itu tak cukup untuk membuat persediaan, jadi kita perlukan kerjasama secara berpasukan.

Shahir menyertai Hijrahkan Laguku dengan niat untuk digunakan sebagai platform nyanyian bagi menyampaikan sesuatu yang positif buat masyarakat di luar sana.

Dari mana tercetus inspirasi Shahir menggubah semula lagu-lagu berkenaan? 

Bagi saya, kadang-kadang lagu yang kita gubah itu, kita buat dan ambil rujukan daripada al-Quran dan hadis. Ini kerana makna dalam al-Quran dan hadis itulah mesej utama yang sebenarnya (mahu disampaikan melalui lagu-lagu yang disampaikan dalam Hijrahkan Laguku).

Sebab Rasulullah SAW kata, dia tak tinggalkan melainkan dua benda untuk umat-Nya, yakni al-Quran dan As-Sunnah. Jadi, itulah sumber yang terbaik untuk kita sebarkan.

Maksudnya, Shahir kaji ayat-ayat al-Quran?

Kita ambil dari mesej ayat-ayat al-Quran dan hadis untuk kita sampaikan dalam lagu. Ayat-ayat al-Quran itu memang sebahagian daripada lagu-lagu yang digubah semula itu.

Lirik lagu adalah interpretasi dari ayat al-Quran, dan dalam Hijrahkan Laguku, kita ada mentor, Ustaz Zarifi Daud yang menjadi tempat rujukan kita. 

Kita tidak mahu apa yang kita sampaikan dalam lagu-lagu yang digubah semula itu daripada sumber yang tidak sahih, kerana hadis misalnya mungkin tidak bertaraf sahih dan hasan (yang baik). 

Bagi mengelakkan ia mungkin akan bermasalah di kemudian hari, jadi setiap ayat al-Quran dan hadis yang kita hendak selitkan dalam lagu-lagu yang digubah semula itu, kita rujuk terlebih dahulu dengan Ustaz Zarifi sebelum kita hendak sampaikan dalam Hijrahkan Laguku.

Redha menerima ujian Allah, Shahir mendoakan pandemik Covid-19 di Malaysia berakhir agar orang ramai dipemudahkan untuk mencari rezeki.

Sebagai juara program realiti nyanyian yang menjadi platform buat anak muda menyebarkan dakwah, jadi apakah kini tanggungjawab yang digalas Shahir?

Pada peringkat awal dulu, kadang-kadang kita rasa kita berjuang seorang diri. Ini kerana pada ketika itu, kita rasa kita hendak menyampaikan sesebuah lagu tetapi kita berasa kita sendirian.

Jadi kali ini melalui Hijrahkan Laguku, TV AlHijrah ibarat membuka pintu untuk kami bersama-sama.

Justeru, mungkin tanggungjawab saya dan juga ketujuh-tujuh ‘abang’ yang lain dalam program itu adalah menggalak ataupun menyebarkan lagi kepada masyarakat atau pengkarya seni  bahawa selepas ini kalau hasilkan lagu, tidaklah yang berkonsepkan duniawi semata-mata.

Kalau boleh kita selitkan juga unsur dan mesej positif, ketuhanan, jadi setidak-tidaknya kalau di akhirat esok apabila Allah tanya: “Suara dan nikmat yang Aku bagi pinjam itu apa yang kau lakukan?”, sekurang-kurangnya ada sedikit kita hendak jawab di depan Allah nanti. Insya-Allah.

Adakah ia dalam bentuk lagu-lagu nasyid? 

Tidak semestinya ia berbentuk lagu-lagu nasyid. Kita ada insan-insan atau penyanyi-penyanyi nasyid kita yang bagus, dan mereka sudah ada peminat tersendiri.

Jadi, tugas kami pula menghasilkan lagu-lagu buat golongan peminat muzik yang selama ini tidak mendengar lagu-lagu nasyid. Kita hendak sampaikan mesej positif melalui lagu-lagu yang lebih ringan.

Shahir baru-baru ini menjayakan program CSR TV AlHijrah, Hijrah Prihatin X Hijrahkan Laguku di Pulau Tuba, Langkawi.

Sebagai juara Hijrahkan Laguku, Shahir turut meraih ganjaran  wang tunai sebanyak RM100,000. Apa perancangan Shahir dengan wang kemenangan tersebut?

Sejujurnya, saya tak pernah terfikir dan terlintas di hati tentang sebarang perancangan hasil  kemenangan Hijrahkan Laguku. Sebab selama dua bulan, kami struggle dan begitu fokus sepanjang menjayakan program tersebut.

Jadi, saya kurang luangkan masa bersama keluarga. Apabila program ini tamat pada awal tahun ini, perkara utama yang terlintas dalam fikiran saya ialah hendak berjumpa dengan kedua-dua ibu dan bapa saya. Apabila sudah berjumpa dengan mereka, alhamdulillah. 

Dari segi duit kemenangan itu, memang saya belum ada perancangan tetapi dari segi perancangan masa depan karier, insya-Allah, saya akan cuba keluarkan single terbaharu menjelang bulan Februari ini.

Sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19 pula, apakah impak terhadap Shahir?

Dari segi karier, sudah tentu ada impak. Bukan kami sahaja, banyak sektor lain dan ramai yang yang terkesan. Sekarang ini alhamdulillah, industri sudah mula bernafas, cuma kita risau sekarang ini dengan kemunculan varian baharu Covid-19, Omicron.

Kita doakan, mudah-mudahan Allah beri kesembuhan daripada wabak ini agar semua orang dapat kembali dan dipermudahkan mencari rezeki.

Dalam pada negara masih dibelenggu Covid-19, ramai pula yang diuji dengan musibah banjir besar baru-baru ini, apa komen Shahir?

Bagi saya, ini semua ujian daripada Allah sebagaimana ayat al-Quran (Surah Al-Baqarah ayat 286): “La Yukallifullahu Nafsan Illa wus’aha” yang bermaksud, “Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan apa yang dia mampu”.

Jadi, setiap benda yang Allah beri kepada itu sebenarnya adalah ujian buat kita; dan Allah tahu sebenarnya kemampuan kita. Kalau kita tidak mampu, Dia tak beri (kepada kita).

Maka bagi saya jika kita redha, kita bersabar. Insya-Allah, ada ganjaran yang menanti. Justeru, mungkin semua ujian Allah itu bukan hanya sekadar kepada mereka terbabit sahaja. 

Tetapi kita yang melihat (golongan yang ditimpa musibah) juga diuji, sama ada hendak berdiam diri atau turun bersama hulurkan bantuan buat mereka. Hakikatnya, musibah atau malapetaka ini sebenarnya ujian buat kita semua.

Merujuk kepada laporan berita, Shahir pernah mengalami kerugian dalam bisnes sarung tangan. Boleh kongsikan? 

Sepanjang pandemik Covid-19, saya dan seorang rakan kongsi ada terlibat dalam bisnes membekalkan peralatan ke hospital iaitu sarung tangan. Sebab ia merupakan hot item ketika  itu.

Kami eksport sarung tangan itu ke Amerika Syarikat dari Malaysia, sebab Malaysia antara pengeluar sarung tangan terbesar dan terbaik di dunia.

Kami bertindak sebagai wakil pembeli kepada klien untuk mendapatkan bekalan sarung tangan daripada pihak pembekal. Sebelum ini, kami berjaya menguruskan tiga kontena sarung tangan untuk klien.

Shahir yang turut melibatkan diri dengan dunia bisnes mengakui turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

Selepas klien berpuas hati, kami diamanahkan sekali lagi untuk menguruskan bagi mendapatkan bekalan 400,000 kotak sarung tangan.

Bayaran penuh sudah dibuat kepada syarikat pembekal di Malaysia itu. Selepas dua bulan lebih, ketika itu pada Oktober 2020 di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang sejurus sebelum dieksport ke AS, apa yang kami dapat daripada syarikat pembekal berkenaan hanyalah kotak-kotak kosong.

Sekarang ini, tindakan dari segi undang-undang dibuat terhadap syarikat pembekal berkenaan. Perkara ini melibatkan peguam dari pihak klien dan syarikat pembekal berkenaan.

Syahir ada buat kenyataan media sebelum ini mengalami kerugian akibat ditipu syarikat pembekal berkenaan dianggarkan mencecah RM12 juta. Susulan itu ada peminat yang menebak adakah Syahir kini sudah bergelar jutawan (sebab terlibat dalam bisnes melibatkan nilai jutaan ringgit). Boleh komen?

Eh, tak (saya belum jutawan)! Ia (RM12 juta) bukan duit saya. Itu adalah duit milik klien saya. Kami cuma sebagai wakil klien yang menguruskan bisnes tersebut.

Beralih kepada kisah kehilangan Shahir dari industri hiburan selama empat tahun sebelum kembali muncul dalam Hijrahkan Laguku. Boleh ceritakan apa yang dilakukan Shahir sepanjang tempoh tersebut?

Selain terbabit dengan bisnes, saya saya buat kerja-kerja di  luar daripada skop industri seni dan hiburan. Sebenarnya sebelum muncul dalam Hijrahkan Laguku, saya pernah muncul dalam satu program TV AlHijrah pada  2019, sebelum berlaku pandemik Covid-19. 

Adakah tempoh empat tahun itu merupakan masa buat Shahir lebih mendekatkan diri kepada Islam?

Terlebih dahulu saya mahu tekankan, matlamat saya menyertai Hijrahkan Laguku bukan untuk mention pada semua orang yang saya ini orang sudah jadi baik ataupun patut dicontohi. Bukan begitu. 

Kita pun ada banyak kelemahan dan masih banyak yang kita hendak belajar. Cuma sedikit sebanyak, kita hendak bersama dengan orang-orang yang baik.

Jadi selama tempoh empat tahun, bahkan saya daripada dulu lagi sebenarnya, saya sentiasa berharap agar saya sentiasa dapat mendampingi orang-orang yang baik. Mudah-mudahan sedikit sebanyak kita dapat bersama mereka.

Hadis Nabi pun ada sebut, katalah di akhirat esok kalau tak nampak kita di syurga, orang baik-baik ini mungkin Allah akan bagi peluang untuk mereka ini tarik sahabat-sahabat mereka yang bersama di dunia. Mudah-mudahan mereka ingat pada saya.

Secara peribadi, adakah Syahir rasa diri lebih tabah berbanding dahulu?

Alhamdulillah, saya rasa atas ujian-ujian yang Allah beri kepada saya sebelum ini sebenarnya, itulah yang membuatkan kita lebih kuat dan lebih bersedia. Kalau dahulu, saya mungkin cepat melatah dengan gosip, sekarang saya lebih bertenang.>>>>(Ikuti wawancara bersama Shahir selanjutnya dalam Harakah Cetak)<<<<

- Advertisement -