3 NGO fail rayuan isu keabsahan sekolah vernakular

Haniff Khatri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfail rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu keabsahan sekolah-sekolah vernakular di sisi Perlembagaan.

NGO terbabit iaitu Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) masing-masing memfail rayuan pada 25, 26 dan 27 Januari 2022.

Rayuan tersebut difail Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil dan Tetuan Hariz Syakinah & Co.

- Advertisement -

Peguamcara bagi pihak MAPPIM, GAPENA dan ISMA memberitahu pasukan tersebut akan diketuai peguam kanan Haniff Khatri.

Menurutnya rayuan di Mahkamah Rayuan akan mencabar dapatan di Mahkamah Tinggi dan diharap akan dapat menentukan persoalan undang-undang berkaitan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Kata beliau sekolah terbabit yang ditubuhkan di bawah Akta Pendidikan dan mendapat dana serta sumber-sumber awam, adalah sebenarnya badan awam atau tidak.

“Alasan Mahkamah Tinggi memutuskan SJKC dan SJKT sah kerana mahkamah berpendapat kedua-dua entiti tersebut bukan ‘pihak berkuasa awam’.

“Dan justeru itu urusannya bukan urusan rasmi, dan dengan yang demikian itu tidak berkewajipan di sisi Perlembagaan untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya pada kenyaaan hari ini.

Pada 29 Disember lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan SJKC dan SJKT di seluruh Malaysia adalah sah di sisi Perlembagaan.

Sebelum itu ketiga-tiga NGO terbabit mencabar kebasahan sekolah-sekolah vernakular kerana mendakwa membelakangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kata peguam terbabit diharap rayuan berkenaan akan dapat memperjelas kedudukan isu perlembagaan, dan tidak dijadikan sebagai isu perkauman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -