
Oleh ASLANI M
SANDAKAN: Menyelusuri jalan darat dari Kota Kinabalu ke Sandakan tentunya begitu memenatkan. Ramai yang mengeluh selepas hampir lapan jam terhuyung hayang dalam kereta.
Itu belum diambil kira singgah sarapan di Kundasang dan makan tengah hari di laluan Telupid. Jarak dari Kota Kinabalu ke Kundasang 92 kilometer masih boleh pecut 120 km sejam.
Masih menyeronok di laluan tersebut melihat Gunung Kota Kinabalu, seperti malu-malu di sebalik kabus. Laluan berkenaan mendaki bukit memanjang.
Terdapat deretan rumah penduduk sepanjang jalan. Setiap rumah terdapat tong plastik besar berwarna biru.
Rupanya mereka menggunakan air hujan bagi keperluan harian. Perjalanan kami dari Hotel Shangri-La di Kota Kinabalu bermula jam 7 pagi.
Sepanjang jalan ke Kundasang cuaca agak redup dengan hujan di sepanjang laluan.
Rombongan Permodalan Kelantan Bhd (PKB) tiba di Kundasang ketika kabus masih tebal. Kenderaan X70 milik Ar Rahn Sabah ternyata bertenaga. Ketika jam 9 pagi tidak banyak restoran dibuka.
Hujan masih renyai-renyai. Rombongan PKB diketuai Pengurus Operasi Ar Rahn Sabah Kamaruddin Mat Awi. Hadir sama bekas ahli lembaga pengarah PKB Mohd Yassin Yusoff dan wakil Harakah.
Sejuk di Kundang, boleh tahan hampir serupa dengan Lojing di Gua Musang.
Kami menyusuri jalan itu melalui Inanam dan Pekan Nabalu.
Namun, perjalanan ke Sandakan masih jauh. Dari Kundasang ke Telupid pula 112 kilometer mengambil masa lebih sejam. Bagaimanapun dari Telupid ke Sandakan perjalanan begitu mencabar. Jaraknya 128 kilometer.
Ketika perjalanan Khamis lepas rombongan PKB menemui beberapa kenderaan tersadai di tepi jalan. Kelihatan mereka berusaha menukar tayar.
Yang pasti tayar kenderaan mereka pancit. Proton X70 biarpun masih bertenaga, namun sering tersasar ke dalam lubang.
Kamaruddin biarpun asal dari Bachok, Kelantan namun cekap memandu di Sabah. Beliau lebih tujuh tahun bermestautin di Sabah, mengurus Ar Rahn (pajak gadai Islam).
Laluan tersebut melalui ladang sawit yang terbentang luas. Ternyata hasil bumi Sabah kaya. Ladang sawit luas mata memandang.

Jalan ‘maut’
Bercerita tentang jalan bukan sahaja pelancong yang membebel, sebaliknya penduduk tempatan juga sudah lama membangkit isu tersebut.
Penduduk menganggap laluan Telupid-Sandakan sebagai jalan ‘maut’. Mengapa tidaknya, lubang di sana sini.
Pengguna jalan tersebut pernah menganjurkan petisyen menerusi Change.org. Mereka menuntut kerajaan bertindak segera. Ini kerana jalan Telupid-Sandakan laluan utama menghubungkan pantai barat dan timur Sabah.
Kamaruddin berkata, beliau kerap melalui jalan tersebut bagi meninjau cawangan Ar Rahn di Sandakan, Semporna dan Tawau.
Katanya laluan terbabit menjadi pilihan penduduk dari Kota Kinabalu.
“Sekarang keadaan jalan begitu teruk, lubang terdapat di sepanjang laluan. Pemandu tidak ada pilihan terpaksa merempuh lubang,” katanya.
Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kena tengok-tengok masalah tersebut. Ketua Menteri Dato’ Seri Panglima Hajiji Md Noor mungkin mempunyai penglaman melalui laluan tersebut.
Ia juga sebagai cabaran kepada ahli parlimen Kinabatangan, Dato’ Seri Bung Mokhtar Radin. Beliau juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerjaraya Sabah. Kinabatangan bersempadan dengan Sandakan.
Jalan Sandakan ke Kinabatangan juga masih banyak perlu dibaiki. Bagaimanapun situasi itu berbeza jauh berbanding dengan jalan dari Semporna ke Tawau. Ada tempat jalannya empat lorong. Malah projek membesarkan jalan tersebut sedang giat dijalankan.
Ar Rahn Sandakan
Di Sandakan rombongan PKB meninjau premis Ar Rahn di situ. Kedudukannya begitu strategik di tengah-tengah bandar. Tidak jauh daripada laut.
Ar Rahn Sandakan dibuka pada 2014. Namun, pada 2017 ditambah kepada dua pintu memandangkan sambutan penduduk tempatan menggalakkan.
Terdapat empat kakitangan mengurus premis tersebut. Tetapi agak mengejutkan keluarga perintis kelahiran Ar Rahn berkhidmat di situ.

Cucu Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bertugas sebagai pemangku pengurus.
Nik Nisreen Mohd Fitri bertugas di situ sejak 2019, selepas menamatkan pengajian di UniSZA. Tiga lagi kakitangan merupakan penduduk tempatan. Sabri Roslan berasal dari Pintas Kudat, Mohd Hafiz Fahmi dari Sandakan dan Jurina Mataya dari Semporna.
Ternyata usaha Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz membuah hasilnya sekarang. Ar Rahn satu-satunya produk dari Kelantan kini semakin dikenali di Sabah.
Bermula premis pertama di Putatan pada 2014, sekarang terdapat lapan lagi cawangan Ar Rahn di Sabah. Dan tidak lama lagi akan melengkapkan 10 cawangan yang dijangka dibuka di Lahad Datu.
Kawasan keselamatan
Sabah timur sehingga sekarang masih berada di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Sepanjang laluan tersebut boleh ditemui sekatan jalan raya oleh anggota keselamatan.
ESSCom diwujudkan bagi mengekang sebarang ancaman termasuk jenayah rentas sempadan. ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.
Agensi keselamatan yang dipertanggungjawab termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
ESSZone merangkumi kawasan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Perjalanan kami hanya berakhir jam 12 pagi. Ketika kami sampai di Semporna kegiatan ekonomi sudah terhenti. – HARAKAHDAILY 27/1/2022











