PASIR PUTEH: Tok Bali melonjak lagi namanya pada kedudukan sebagai hab industri perikanan utama di Pantai Timur dengan pelaburan baharu bernilai RM12 juta bagi pembinaan kilang industri hiliran berasaskan ikan.
Projek pembinaan kilang pemprosesan tepung ikan, minyak ikan dan makanan haiwan pertama seumpamanya di Kelantan itu merupakan usaha sama di antara pelabur syarikat tempatan Gelombang Agro Sdn Bhd dan syarikat Hong Kong Topway Global Enterprise Ltd.
Kejayaan pembinaan itu sekali gus meningkatkan ekonomi setempat khususnya peluang pekerjaan anak tempatan yang berpeluang mencari rezeki di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia dan Keusahawanan, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, pelaburan tersebut akan membawa perubahan besar dalam ekosistem industri perikanan negeri.
Menurutnya, sebelum ini industri hanya bergantung kepada eksport hasil laut mentah kepada pembangunan industri hiliran yang bernilai tinggi.
“Kita berterima kasih kepada para pelabur yang memanfaatkan infrastruktur peindustrian di Tok Bali sebagai zon industri perikanan yang kompetitif.
“Sasaran pemain industri ialah untuk meningkatkan nilai tambah kepada hasil laut dan mengurangkan pembaziran sumber marin,” katanya lagi.
Beliau memberitahu, projek tersebut bakal membuka 100 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan memberi impak besar terhadap rantaian industri perikanan serta penternakan haiwan di negeri ini.
Menurutnya lagi, Kelantan sememangnya kaya dengan hasil laut dan berpotensi besar dalam industri pemprosesan makanan haiwan berasaskan sumber marin.
“Projek ini akan menjadikan Tok Bali sebagai pusat pemprosesan bertaraf dunia, seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kilang Pemprosesan Tepung Ikan, Minyak Ikan dan Makanan Haiwan di Tok Bali, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan Poseidon Feeds & Nutrients Sdn Bhd, Zarir Yaakob pula memaklumkan bahawa sebagai syarikat pelaksana, pihaknya akan membina kilang tersebut di atas tanah seluas 1.2 ekar yang berstatus industri dalam tempoh sembilan bulan.
Jelas beliau, pihaknya mensasarkan kilang ini beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 dengan Fasa 1 merangkumi kilang tepung ikan dan minyak ikan bernilai RM5 juta.
“Kapasiti pengeluaran harian ialah 80 tan ikan dan sisa ikan. Manakala pengeluaran tahunan berjumlah 8,000 tan tepung ikan dan 200 tan minyak ikan. Kita menganggarkan perolehan tahunan ialah RM10 juta.
“Fasa 2 pula melibatkan pembinan kilang makanan haiwan bernilai RM7 juta berserta pembangunan penyelidikan & pembangunan (R&D) dengan kepakaran tempatan,” jelasnya.
Beliau juga menyakini kewibawaan kedua-dua pelabur yang berpotensi menjayakan pelaburan tersebut. – HARAKAHDAILY 28/2/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!