Amerika Syarikat kecam tindakan China di Laut China Selatan

Anthony Blinken dalam Sidang kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Viebtiane, Laos pada hari ini, 11 Oktober 2024. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

VIENTIANE: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Anthony Blinken mengecam tindakan Beijing yang dilabelkannya sebagai ‘semakin berbahaya’ di Laut China Selatan ketika mengadakan pertemuan bersama pemimpin blok ASEAN hari ini.

“Kami kekal bimbang tentang tindakan China yang semakin berbahaya dan menyalahi undang-undang di Laut China Selatan dan Timur, yang telah mencederakan orang, merosakkan kapal dari negara ASEAN dan bercanggah dengan komitmen untuk menyelesaikan pertikaian secara aman.

- Advertisement -

“Amerika Syarikat akan terus menyokong kebebasan pelayaran dan kebebasan penerbangan di Indo-Pasifik,” katanya dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat 2024 itu.

Beliau dalam pada itu berharap negaranya akan terus dapat bekerjasama dengan pemimpin ASEAN untuk melindungi kestabilan merentasi Selat Taiwan, yang merupakan sumber ketegangan berterusan dengan China, lapor Reuters.

Beijing baru-baru ini mengecam kenyataan Presiden Taiwan, Lai Ching-te yang berikrar untuk menentang ‘pengambilan’ oleh negara China, dan menegaskan bahawa negaranya itu merupakan negara demokrasi yang mempunyai hak untuk memerintah sendiri.

China dalam beberapa bulan kebelakangan ini telah mengerahkan kapal tentera dan pengawal pantai dalam usahanya untuk mengeluarkan Filipina daripada kawasan terumbu dan kepulauan yang penting secara strategik di Laut China Selatan.

Negara tembok besar itu pada Ogos menuduh Filipina sengaja melanggar kapalnya berhampiran Beting Sabina di Laut China Selatan, dalam pertembungan terbaru dua negara itu di perairan yang mempunyai tuntutan bertindih. -Agensi/– HARAKAHDAILY 11/10/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -