
KUALA LUMPUR: Kekalahan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu lalu tidak memberi kesan negatif kepada prestasi PN di peringkat nasional.
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Selayang, Taufiq Dahlan berkata, pelbagai faktor strategik, demografik, dan keadaan yang menjadi bukti mengapa keputusan ini tidak menggambarkan kekuatan sebenar PN.
“Sebagai perbandingan mudah, 30 peratus lebih pengundi di Johor ialah dari bukan Melayu. Umum mengetahui kaum Cina hampir pasti tidak beralih undi dari DAP semenjak PRU (Pilihan Raya Umum) 2008.
“Bak kata veteran politik, jika DAP letak calon kayu pun, kaum Cina akan tetap undi,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook Pemuda PAS Selayang, hari ini.
Menurut beliau, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, PN hanya memperoleh kira-kira 15 hingga 20 peratus undi daripada kawasan Johor yang serupa dengan demografi di DUN Mahkota, menunjukkan kawasan ini memang memerlukan lebih banyak usaha dari Perikatan Nasional.
“Meskipun sentiasa dihina oleh puak-puak Pakatan Harapan (PH), rakyat yang terdiri daripada kawasan luar bandar dan negeri-negeri Melayu majoriti seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu sentiasa menyokong kuat Perikatan Nasional kerana percaya, identiti Malaysia di zahirkan secara lebih baik oleh Perikatan Nasional.
“Statistik PRU15 menunjukkan PN memenangi lebih daripada 95 peratus kerusi di Kelantan dan Terengganu, menunjukkan penguasaan kuat mereka di kawasan-kawasan pedalaman yang pengundi Melayu-Islam lebih dominan dan berbeza dengan demografi di DUN Mahkota, Johor, yang lebih ‘mixed’ (bercampur).
“Demografi begini akan lebih mudah didekati oleh Perikatan Nasional melalui pilihan raya umum berbanding pilihan raya kecil,” ujarnya.
Tambah beliau yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Selangor, pada pilihan raya negeri Johor yang lalu, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, dan PH mendominasi kerusi bandar, menjadikan gabungan itu lebih kuat dalam konteks di Johor.
“Namun, ini tidak semestinya menggambarkan kelemahan PN secara menyeluruh. PN masih mengekalkan pengaruh yang kuat di kalangan pengundi Melayu di negeri-negeri tertentu, dan ini terbukti dalam beberapa pilihan raya kecil dan negeri baru-baru ini.
“Tuntasnya, kekalahan PN di Mahkota tidak menjejaskan kedudukan mereka secara keseluruhan kerana beberapa faktor penting, termasuk demografi Johor yang bercampur, kekuatan PN yang tertumpu di kawasan luar bandar, serta kekuatan UMNO di Johor yang merupakan negeri asal mereka.
“PN masih mempunyai pengaruh besar di negeri-negeri majoriti Melayu dan kawasan luar bandar, di mana masyarakat lebih mementingkan agama dan tidak terlalu mengejar arus pembangunan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2024




















