Masalah banjir kilat dapat diatasi dalam tiga hari

- Advertisement -

PADANG BESAR: Masalah banjir kilat yang melanda kawasan Paya dan Padang Pauh, di sini akibat saluran perparitan tersumbat berjaya diselesaikan dalam tempoh tiga hari dengan kerjasama pantas pihak berwajib.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan bertindak segera sejurus turun padang untuk meninjau keadaan banjir kilat yang berlaku pada Khamis, 26 September lepas.

Menurut Ustaz Muhammad Azmir, beliau menghubungi pegawai bertanggungjawab pada malam kejadian dan menerima maklum balas yang positif pihak berkenaan.

“Alhamdulillah, pada pagi Jumaat, pegawai turun meninjau masalah perparitan yang memperlahankan aliran air di kawasan simpang tiga Alor Sena-Paya,” jelasnya.

Pada petang Sabtu, 28 September, kontraktor THB Maintenance Sdn Bhd berjaya membaiki masalah kok yang telah menghalang aliran air hingga mencetuskan kejadian banjir kilat tersebut.

“Saya berharap masalah saliran air di kawasan Paya ini tidak lagi menyebabkan banjir kilat pada masa akan datang. Terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan THB atas tindakan pantas mereka,” tambahnya.

Sebelum itu, Ustaz Muhammad Azmir bersama pasukan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Santan menjalankan tinjauan dan mendapati pokok yang tumbuh di dalam parit menghalang aliran air akibat sampah tersangkut di akar pokok.

Beliau berharap tindakan itu dapat mencegah berulangnya masalah banjir kilat dan memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang terjejas. – HARAKAHDAILY 30/09/2024

- Advertisement -