Perlu kerjasama bangun sempadan Malaysia-Thailand

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi menyuarakan cadangan agar Malaysia dan Thailand bekerjasama dalam memberikan maklumat berkenaan isu sempadan.

- Advertisement -

Beliau menyampaikan cadangan ini ketika menjadi panel jemputan dalam forum “Pembangunan Kerjasama antara Malaysia dan Kawasan Sempadan Selatan Thailand: Peluang dan Jangkaan”.

Malah, turut dipanjangkannya dalam perbincangan secara peribadi dengan Speaker Dewan Rakyat Thailand, Wan Muhammad Noor Matha pada forum di Kompleks Serbaguna Pusat Pembangunan Islam Yala, kelmarin.

Rushdan melihat untuk perkara tersebut dibawa ke Parlimen kedua-dua negara agar usaha berkaitan untuk kesejahteraan penduduk di kawasan sempadan dapat diadakan.

Forum turut melibatkan wakil kementerian dan agensi Kerajaan Thailand, Ahli Parlimen Yala, wakil badan bukan kerajaan (NGO), wakil universiti dan usahawan.

Dalam forum tersebut, beliau memberi fokus kepada isu-isu penting seperti industri halal, pendidikan, pertanian dan hubungan ekonomi sempadan.

Cadangan beliau mengenai kerjasama sempadan ini turut mendapat perhatian daripada pihak universiti di Selatan Thailand, khususnya di kalangan pensyarah ekonomi.

Program diakhiri dengan sesi makan malam dan perasmian bangunan baharu Kompleks Serbaguna Pusat Pembangunan Islam Yala.

Rushdan merakamkan penghargaan atas jemputan dan layanan yang luar biasa, sambil menekankan bahawa pertemuan tersebut adalah satu langkah bermakna.

Beliau berharap usaha ke arah kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Thailand, khususnya untuk Negeri Perlis dapat diadakan. HARAKAHDAILY 30/9/2024

- Advertisement -