ADA kalangan penganut Islam yang agak terkeliru kerana kejahilannya, apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membuka keahlian kepada penganut agama bukan Islam yang dinamakan ahli bersekutu. Ahli bukan Islam menjadi satu sayap baharu kepada PAS.
Lalu ada yang menganggap keputusan ini suatu perkara yang luar biasa, kerana keahlian PAS biasanya mestilah penganut Islam yang berprinsipkan aqidah dan matlamat perjuangannya. Dalam aspek politik pula bertujuan menegakkan sebuah negara Islam yang mengangkat Islam menjadi kuasa tertinggi di Malaysia dan mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.
Makna Islam terkandung dalam perkataan al-din yang diterjemahkan dengan ajarannya yang sempurna merangkumi segala cabang kejadian manusia dan kehidupannya. Bahkan, ia merupakan petunjuk Allah kepada seluruh makhluk-Nya, di samping menjadi agama ketetapan Allah kepada para rasul dan anbiya’.
Maka, terjemahan perkataan agama dalam bahasa yang lain adalah tidak menepati ajaran Islam yang sempurna daripada al-Quran.
Al-Quran menegaskan firman Allah SWT:
أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ ٨٣
“Maka, apakah mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah, padahal kepada-Nya jua segala apa yang di langit dan di bumi menyerahkan diri (Islam), sama ada secara sukarela mahupun terpaksa (mengikut fitrah), dan hanya kepada Allah jua mereka dikembalikan.” [Surah Ali ‘Imran: 83]
Islam juga mewajibkan berlaku adil kepada semua manusia sekalipun terhadap musuh ketika berlakunya peperangan yang menceroboh Islam, penganut dan tanah airnya. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨
“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak dan layak menerimanya), dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]
Islam juga membawa konsep tidak ada paksaan dalam beragama. Firman Allah SWT:
وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ ٩٩
“Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah sekalian manusia yang ada di muka bumi seluruhnya beriman. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” [Surah Yunus: 99]
Kerasulan Nabi Muhammad SAW ditetapkan kepada seluruh alam, kemudian disampaikan kepada semua dengan segala cara dan hubungannya. Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٢٨
“Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” [Surah Saba’: 28]
Begitu juga dengan beberapa ayat-ayat yang lain.
Maka, Rasulullah SAW mengadakan hubungan dengan kalangan bukan Islam pada Marhalah Makkiyyah (sebelum bernegara ketika di Makkah) dan Marhalah Madaniyyah (selepas berjaya mewujudkan negara Islam di Madinah).
Islam dilaksanakan bukan sekadar untuk penganut Islam sahaja, bahkan Baginda SAW turut mengadakan hubungan dengan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam konteks individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sama ada dengan mengajak kepada menganut Islam ataupun mengadakan hubungan yang baik dan damai dengan bukan Islam.
Islam menekankan bahawa hubungan perdamaian dan perpaduan hendaklah didahulukan. Firman Allah SWT:
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud ingin menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61-63]
Firman Allah SWT:
عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Mudah-mudahan, Allah menimbulkan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (7) Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negeri kamu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawan kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama dan mengusir kamu dari negeri kalian, dan membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 7-9]
Sejak berada di Makkah ketika belum lagi berkuasa menegakkan negara, sehinggalah berkuasa, umat Islam tetap mengadakan hubungan yang baik dengan orang bukan Islam yang menyukai perdamaian dan membenci peperangan.
Di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan ahli keluarganya yang belum memeluk Islam dan kalangan bukan Islam yang berperikemanusiaan walaupun mereka tidak memeluk Islam. Adapun di Madinah dan selepasnya, orang bukan Islam diterima berada di bawah kerajaan Islam dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat majmuk, bahkan kerajaan wajib berlaku adil kepada semua.
Dalam satu peristiwa lain ketika melakukan hijrah ke Madinah, perjalanan Rasulullah SAW dibantu oleh seorang lelaki bukan Islam yang membawa Baginda SAW melalui jalan rahsia. Tujuannya adalah untuk melepaskan diri daripada serangan musuh yang mencari-cari untuk membunuh Baginda SAW.
Setelah berada di Madinah, Rasulullah SAW menubuhkan negara bermasyarakat majmuk dengan memeterai perjanjian bersama kaum bukan Islam daripada Yahudi, Kristian dan Musyrikin. Di Madinah juga diwujudkan perpaduan umat dalam kalangan umat Islam dan umat manusia berpandukan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam AS), dan daripada (Adam) itu Allah menciptakan pasangannya (isterinya iaitu Hawwa’), dan juga yang mengembangbiakkan daripada kedua-duanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta (peliharalah) hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu.” [Surah al-Nisa’: 1]
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Surah al-Hujurat: 13]
Para ulama’ Islam dalam tulisan mereka membahagikan orang bukan Islam kepada golongan Zimmi (diberi kerakyatan), Mu’amman atau Musta’man (diberi keamanan apabila meminta perlindungan), Mu‘ahad (memeteraikan perjanjian damai) dan Harbi (yang bermusuh terhadap Islam). Pembahagian ini menunjukkan bahawa terhadap musuh juga harus diajak berdamai dan wajib berlaku adil.
Malah, kerajaan Islam turut melibatkan kalangan bukan Islam dalam kabinet dan perkara yang melibatkan pengurusan masyarakat. Adapun penganut Islam tetap menjaga perkara dasar dan menjadi kepimpinan utama.
Sepanjang perjalanan sejarah, kerajaan Islam diterima oleh kalangan bukan Islam yang membenci kezaliman. Islam juga diterima dengan reda kerana adil dan amannya.
Islam wajib disampaikan kepada seluruh manusia dan ditegakkan keadilannya apabila memerintah kepada semua manusia. Walaupun berkonsepkan tiada paksaan dalam beragama, Islam mewajibkan berdakwah tanpa paksaan dan berkuasa memerintah sebuah negara yang berdaulat. Maka, Islam wajib memimpin hidup bermasyarakat dalam negara Islam secara majmuk, khususnya dengan mendahulukan pendekatan terbuka dan damai dengan semua pihak.
Kesannya dapat dilihat apabila adab orang Islam dalam hubungannya dengan bukan Islam masih dipelihara dalam masyarakat Melayu Islam. Sehingga golongan minoriti, sama ada keluarga ataupun individu bukan Islam, aman berada di tengah-tengah masyarakat Melayu Islam.
PAS menetapkan dalam perlembagaannya bahawa segala rujukannya ialah al-Quran, sunnah Rasulullah SAW dan ijtihad para ulama’. Namun begitu, PAS menghadapi cabaran kejahilan umat Islam kerana kesan penjajahan dan kalangan bukan Islam dalam masyarakat majmuk yang mendapat tasawur Islam yang salah daripada penulisan bukan Islam.
Bagi menunaikan kewajipan menyambung risalah Islam kepada seluruh manusia, pada awal tahun 60-an, Prof. Zulkifli Muhammad (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) telah mengemukakan cadangan untuk membuka cabang ahli bersekutu PAS kepada kalangan bukan Islam.
Tiba-tiba, cadangan itu mendapat tentangan daripada para ulama’ Melayu yang terhad pembacaannya. Maka, cadangan tersebut terpaksa ditangguhkan sementara waktu sehingga Majlis Syura Ulamak bermuzakarah beberapa kali dan dilihat dari segi kemampuan kefahaman ahli-ahli PAS. Malah, muzakarah turut dilakukan di peringkat antarabangsa melibatkan para ulama’ dan ilmuwan politik parti-parti Islam di luar negara.
Ramai tokoh berminat untuk terlibat dalam muzakarah yang diadakan di Lancaster, United Kingdom, di markas Islamic Foundation, pada tahun 90-an itu. Antaranya ialah Almarhum Dr. Yusuf al-Qaradawi, Almarhum Sheikh Faisal Mawlawi, Almarhum Qadi Hussain Ahmad, Prof. Khurshid Ahmad, Almarhum Dr. Kamal Helbawi, Rashid Ghannoushi dan lain-lain.
PAS diwakili oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Almarhum Ustaz Harun Taib, Almarhum Ustaz Hassan Shukri, Almarhum Ustaz Yahya Othman dan saya sendiri yang diamanahkan oleh pimpinan supaya mengemukakan taklimat berkenaan masyarakat majmuk di Malaysia.
Resolusi muzakarah tersebut dilaksanakan selepas tahun 2000 secara berperingkat, sehingga perkara tersebut diletakkan dalam Perlembagaan PAS yang diluluskan melalui muktamar baru-baru ini.
Prosesnya dilakukan melalui pendekatan politik matang dan sejahtera dengan penuh keimanan, keilmuan para ulama’ dan ilmuwan PAS, kebijaksanaan politik serta keyakinan kepada Islam, berpandukan firman Allah SWT:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا ٣٦
“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan, dan hati; semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (dihisab pada Hari Kiamat).” [Surah al-Isra’: 36]
Pelaksanaannya wajib berkonsepkan Islam Melayu memimpin masyarakat majmuk, yang adil dan bersatu mengikut Siasah Syar‘iyyah. PAS tetap beristiqamah membawa ahlinya yang setia berpandukan ilmu serta pelaksanaan wasatiyyah yang tidak liberal dan melampau.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Rabi‘ al-Awwal 1446 / 28 September 2024
[Bil: 40 / 2024] – HARAKAHDAILY 28/9/2024