KUALA LUMPUR: Sebagai tanda solidariti, PAS mengesahkan akan menghantar wakil rasmi bagi memberikan penghormatan terakhir dan menyertai upacara pengebumian jenazah As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh yang dijadualkan berlangsung di Doha, Qatar, Jumaat ini.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata ia adalah bagi menzahirkan solidariti dan dukungan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin.
Menurutnya, wakil daripada PAS itu terdiri daripada Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari; dan Wakil Lajnah Parlimen PAS Pusat, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
“Pastinya pemergian As-Syahid Syeikh Ismail Haniyeh adalah suatu kehilangan besar terhadap umat Islam seluruhnya, namun ia tidak sesekali akan mematahkan semangat juang para pencinta bumi Al-Quds untuk sepanjang zaman,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam hal itu menurutnya, PAS menyeru Kerajaan Malaysia supaya segera mengambil langkah diplomatik ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Tambahnya, ia di samping memberikan tekanan antarabangsa untuk menghalang Israel daripada meneruskan kekejaman dan jenayah perang terhadap rakyat Palestin.
“Selaras dengan keputusan terbaharu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), serta pelbagai resolusi dan ketetapan di pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang perlu dihormati.
“Pada masa sama, PAS menegaskan adalah suatu yang tercela dan tidak bermaruah sekiranya Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri masih meneruskan cadangan usahasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Khazanah dengan syarikat BlackRock.
“(Cadangan usahasama ini) yang secara jelas terlibat dalam pembiayaan dan persenjataan kepada regim haram Zionis Israel bagi melakukan pembunuhan, genosid dan jenayah perang yang terkutuk terhadap saudara kita di Palestin; justeru usahasama ini hendaklah sama sekali dihentikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/8/2024