KEADILAN merupakan satu konsep yang abstrak, yang bergantung kepada sistem nilai dan kepercayaan sesuatu golongan yang mendefinisikannya. Dalam Islam, keadilan adalah bersandarkan kepada panduan wahyu dan nas, yang memperincikan konsep adil.
Untuk mudah difahami, adil dalam Islam dimaknakan dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Mashood A. (2003) dalam artikelnya `Justice in Islam: Comparative Perspectives on Islamic and Western Approaches to Law and Society’ menyatakan bahawa adil dalam Islam bukan terhad kepada konsep undang-undang, bahkan merangkumi moral dan etika yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunnah.
Sebagaimana suruhan Allah SWT dalam Surah Al-Nisa’ ayat 135, manusia diminta berlaku adil walaupun ia bertentangan dengan diri sendiri, ibu bapa atau pun kaum kerabat.
Mashood A. juga menyatakan bahawa keadilan ala barat adalah bersifat sekular dan bersumberkan akal manusia dan proses-proses demokratik. Berbeda dengan konsep keadilan dalam Islam yang menjadikan Allah SWT dan Rasul sebagai rujukan, keadilan barat menyokong nilai-nilai ciptaan manusia berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang bertuhankan akal.
Sebab itulah dunia Islam dan Barat senantiasa bertembung. Barat tidak akan sesekali menerima konsep keadilan Islam, walaupun ia terbukti berabad-abad lamanya lebih menjanjikan kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Barat yang terkenal dengan wacana falsafah-falsafah yang memeningkan seringkali mengelirukan dunia Islam dengan konsep yang tampak luhur dan mulia, namun bertujuan menghancurkan Islam.
Pemikir-pemikir dan pendukung falsafah keadilan dalam sistem kenegaraan mesti mempunyai fikrah yang jelas tentang keadilan. Keadilan yang perlu diterapkan dalam urus tadbir sesebuah wilayah mestilah bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Asimilasi dan sikap apologetik terhadap konsep-konsep keadilan barat perlu dihentikan. Benar, sistem yang ditinggalkan barat itu sukar dihapuskan, namun bagaimana ia diuruskan dan dikembangkan menjadi penentunya.
Anwar Ibrahim (2022) dalam tulisannya `Afterword: The Journey For Epistemological Justice’ mencadangkan pembaharuan dalam proses Islamisasi. Beliau menyatakan:-
The future is plural and the more aware of this fact and literate we are in thinking about it, the more open, inclusive, empowering, and multicultural we can make it. Justice is not some heavenly ideal or lost romanticised notion of hither history, it is an ongoing practice and something to be continually aimed towards in our futures.
Keadilan bagi beliau bukanlah sesuatu yang “heavenly ideal”, namun merupakan satu amalan yang berterusan. Oleh yang demikian, beliau mencadangkan agar kerjasama dan integrasi dilakukan antara Islam dan Barat agar solusi baru kepada masalah-masalah yang ada dapat dicari.
Pertembungan idea gagasan Anwar Ibrahim dengan pemikiran tradisional Muslim ini mungkin menyaksikan pergeseran. Dalam keadaan Anwar Ibrahim telah berada di puncak kuasa, pasti ramai ternanti-nanti untuk melihat apakah konsep keadilan yang beliau cuba terapkan adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, atau pun lebih ke arah integrasi dengan nilai Barat?
Dan adakah beliau akan mengemudi Malaysia ke arah negara Islam yang progresif atau negara sekular acuan barat, namun berwajah Islam? – HARAKAHDAILY 8/6/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!