KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyifatkan syor pemimpin DAP, Lim Guan Eng supaya diperuntukkan 10 peratus kepada bukan bumiputera daripada jumlah yang diperuntukkan kepada bumiputera adalah bersifat kesamarataan dan bukannya keadilan.
Timbalan Ketua DPPM, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, ini kerana jurang ekonomi antara kaum di Malaysia masih tinggi akibat peninggalan dasar penempatan penjajah yang meletakkan kaum Melayu di kampung, Cina di bandar, manakala India di estet adalah memihak kepada bukan bumiputera.
Menurutnya, dasar itu menyebabkan kaum Cina memiliki kawasan tanah yang strategik dan menguasai aktiviti perniagaan dan ekonomi di bandar.
Katanya, perniagaan bukan bumiputera kini menjadi empayar yang besar dan menguasai pemilikan hartanah bernilai tinggi di bandar.
“Semua pihak maklum akan perkara ini. Namun jurang ini masih tinggi dan ini terbukti melalui kenyataan Pengerusi Bursa Malaysia tempoh hari, iaitu daripada 1,000 syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia, hanya 62 syarikat dikuasai bumiputera,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mohd Hafez melahirkan kebimbangan berlaku ketidakadilan yang ketara apabila peruntukan tidak seimbang dengan pemain Perusahaan Kecil dan Sederhan (PKS) bukan bumiputera.
Bagaimanapun, katanya tidak pelik jika penjajah mempraktikkan dasar yang tempang, namun sangat tidak munasabah jika pemimpin negara yang mempraktikkannya.
“Budaya generalisasi adalah sangat tempang walaupun pada lensanya nampak adil. Sebelum ini, Menteri Pendidikan membuat generalisasi perbandingan jumlah peruntukan RM150 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Tahfiz dengan peruntukan RM20.16 juta, berbanding Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
“Namun hakikatnya perbandingan sebenar jumlah peruntukan untuk setiap SAR atau tahfiz adalah RM41,655 manakala setiap SMPC adalah RM320,000,” katanya.
Menurutnya, DPPM berharap kerajaan tidak termakan dengan hujah ‘Kerajaan Perpaduan yang menjaga semua rakyat’ yang dikemukakan Guan Eng ketika menuntut peruntukan ini kerana secara tersiratnya adalah agenda kesaksamaan yang diperjuangkan. – HARAKAHDAILY 5/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!