Video JAIP kunjungi kuil: Pluralisme agama?

Irwan Fahmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) terkejut dengan satu video dikatakan pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) yang telah mengadakan lawatan mengunjungi Kuil Sri Maha Kaliamman di Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan PERKASA, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya berasa terkejut dengan lawatan yang dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Perak ke kuil tersebut.

- Advertisement -

“Dan apa amat mengecewakan lagi apabila wakil pihak Jabatan Agama Islam tanpa rasa bersalah mengatakan selama ini ada berlaku salah faham kepada penganut Hindu serta mengatakan terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu.

Menurutnya, PERKASA sehubungan itu mengecam kenyataan yang dibuat oleh pihak JAIP dengan mengatakan ada persamaan antara Agama Islam dan Agama yang lain.

“PERKASA ingin bertanya dan ingin mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Perak, apakah tujuan lawatan dibuat di kuil tersebut?

“Dan apakah maksud kenyataan dari JAIP mengatakan bahawa semua Agama adalah sama? Untuk apa yang JAIP nak tahu pasal Agama Hindu?” soalnya dalam satu kenyataan.

“Biarlah mereka dengan agama mereka dan umat Islam dengan agama Islam dan mengapa JAIP perlu membazirkan wang yang banyak untuk membawa Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri itu ke kuil?” soalnya lagi.

Beliau menegaskan, lebih baik duit itu digunakan untuk membantu sekolah-sekolah Agama Islam swasta yang memerlukan bantuan, selain PERKASA menggesa JAIP untuk mengulang kaji atau memahami Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

“ Ini berikutan kenyataan persamaan antara agama Islam dan Hindu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

“Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: ‘Undang-undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam’.

“Ini termaktub dalam Perlembagaan Negara. PERKASA mengecam tindakan JAIP yang cuba membawa agenda pluralisme yang merupakan agenda halus untuk samakan Agama Islam dengan Agama yang lain.

“PERKASA juga minta JAIP untuk lebih berhati-hati apabila membuat sesuatu kenyataan tentang Agama kerana bimbang ianya boleh menyimpang dari segi akidah.

“PERKASA juga menggesa Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia(JAKIM) agar memantau Jabatan Agama Islam Negeri agar tidak terus menjadi ejen kepada agenda pluralisme ini,” tegasnya.

Menurutnya, jika dahulu kempen jom ke gereja menimbulkan kemarahan orang Islam di Malaysia, hari ini timbul pula isu yang mengatakan banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu.

PERKASA juga katanya, berharap tiada lagi lawatan lawatan ke rumah ibadat bukan Islam dan kenyataan yang menyamakan agama Islam dengan Agama yang lain lagi di masa akan datang.

“Apakah ini yang dimaksudkan dengan Kerajaan Madani? Kebebasan termasuk dengan kesamarataan Agama.

“Sebelum ini kementerian Belia dan sukan menggunakan wang rakyat untuk membuat program yang lebih kurang sama dengan Jabatan Agama Islam Perak buat,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2024

- Advertisement -