Demokrasi sekali lagi diuji di DUN Sungai Bakap

- Advertisement -

PILIHAN Raya Kecil (PRK) N.20 DUN Sungai Bakap bukan hanya menjadi perhatian pengundinya, malah seluruh negeri Pulau Pinang dan negara.

- Advertisement -

Tarikh keramat 22 Jun menjadi detik penantian untuk mengetahui berapa calon yang bakal bersaing bagi memenangi DUN berkenaan walaupun umum sedia maklum, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pastinya akan tersenarai dalam pertandingan itu.

Namun, sejarah PRK tidak dapat dinafikan apabila lebih daripada tiga hingga empat calon, hatta 15 penjuru pernah berlaku di DUN Bukit Selambau, Kedah pada 2009 lalu.

Tetapi yang lebih penting khususnya PN, adalah untuk memastikan kerusi itu kekal kepada gabungan tersebut, malah usaha mempertahankannya telah bermula sebaik sahaja ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff meninggal dunia 24 Mei baru-baru ini.

Tidak dinafikan, PH juga akan berusaha bersungguh-sungguh agar DUN berkenaan kembali ke tangan mereka setelah berjaya menguasainya sejak 1959 iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) pertama.

Selama itu ia menjadi milik calon Barisan Nasional (BN), MCA, GERAKAN dan PKR, namun terpaksa akur buat pertama kalinya jatuh ke tangan calon PAS yang mewakili PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 15.

Mahu tidak mahu, baik PH atau BN, perlu akur kepada gelombang kebangkitan rakyat menolak parti ataupun gabungan itu selain PN khususnya pada PRU lalu walaupun kerusi Sungai Bakap merupakan kerusi tradisi mereka.

Sungguhpun kemenangan Zamri pada PRN lalu bukanlah satu majoriti yang tinggi iaitu 1,563 undi mengatasi calon PH, Nurhidayah Che Rose, tetapi sudah cukup sebagai pukulan pertama membenamkan keegoan PH dan parti kompenannya bahawa kuasa rakyat mampu mengubah segalanya.

Berdasar statik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) N.20 DUN Sungai Bakap mempunyai  komposisi pengundi membabitkan 59.4 peratus (Melayu) 22.5 peratus (Cina), 17.4 peratus (India) dan 0.7 peratus lain-lain kaum. Pada PRN lalu, seramai 29,530 (76.88 peratus) daripada 38,409 pengundi berdaftar, keluar menunaikan tanggungjawab membuang undi.

Justeru 14 hari selepas penamaan calon, bermulalah ‘peperangan’ sama ada berkempen mahupun merayu undi yang dilakukan oleh wakil calon yang bertanding untuk memastikan pada 6 Julai, calon pilihan masing-masing akan dinobatkan sebagai pemenang.

Calon PN dijangka tidak akan berhadapan langkah sukar ekoran prestasi Allahyarham Zamri ketika menjadi ADUN Sungai Bakap sangat baik. Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, ketika hayatnya dikatakan sangat mengambil berat hal-hal kebajikan penduduk.

Di satu sudut yang lain, PH walaupun gabungan parti yang menerajui Pulau Pinang ketika ini, dijangka akan berhadapan jalan agak sukar untuk menawan semula hati pengundi. Ini berikutan terdapat pelbagai isu negeri itu di samping kegagalan Kerajaan Persekutuan yang juga ditadbir PH menangani masalah rakyat khususnya ekonomi

Sepertimana pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, N.20 DUN Sungai Bakap perlu diwakili calon Islam daripada PN untuk mengimbangi kedudukan Pulau Pinang yang diterajui DAP. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

- Advertisement -