KUALA LUMPUR: Kebimbangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengenai kemungkinan penyeludupan telur ayam dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) menimbulkan pelbagai persoalan, namun fakta dan data menunjukkan dakwaan itu kurang logik dan sukar berlaku.
Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun menghormati pandangan Datuk Seri Mohamad Sabu, hujah dari segi ekonomi dan logistik menunjukkan sebaliknya.
Menurutnya, jarak antara Malaysia dan AS yang melebihi 14,000 kilometer menyebabkan penghantaran telur ayam dalam jumlah besar adalah proses yang sangat mahal dan tidak ekonomik.
Katanya, kos penghantaran laut bagi satu kontena sejuk boleh mencecah antara RM28,000 hingga RM37,500, manakala kos penghantaran udara lebih tinggi, iaitu kira-kira RM9 hingga RM19 sekilogram.
“Telur juga merupakan produk mudah rosak yang memerlukan penyimpanan dalam suhu terkawal dan ini akan meningkatkan kos penghantaran. Berdasarkan semua faktor ini, penyeludupan telur dari Malaysia ke AS bukan sahaja tidak berbaloi, malah tidak masuk akal dari sudut ekonomi,” katanya dalam tulisannya di media sosialnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, realiti pasaran AS juga tidak menyokong dakwaan itu kerana berdasarkan laporan akkbar The Guardian pada 21 Mac lalu, harga telur di beberapa kawasan, terutama di California, meningkat hingga hampir AS$10 sedozen, susulan krisis bekalan akibat wabak selesema burung.
Katanya, harga purata telur di AS pada Februari lalu adalah kira-kira AS$5.90 sedozen, jauh lebih tinggi berbanding harga biasa sebelum ini, kira-kira AS$2.50 hingga AS$3.
“Kenaikan harga menyebabkan ramai rakyat AS membeli telur dari Mexico, walaupun berdepan risiko didenda hingga AS$300 jika ditangkap kerana membawa telur merentasi sempadan tanpa kebenaran.
“Ya benar, harga telur di AS meningkat dengan ketara dalam keadaan harga telur di Malaysia masih berada dalam lingkungan RM10 – RM14 sedozen, bergantung kepada gred,” katanya.
Bagaimanapun, katanya dengan kos logistik yang tinggi dan kawalan import yang ketat, adalah tidak praktikal bagi penyeludup untuk membawa telur dari Malaysia ke AS dalam jumlah besar.
Katanya, jika pengguna di AS beralih kepada mendapatkan bekalan dari Mexico yang jauh lebih dekat, tidak masuk akal untuk mereka mendapatkan bekalan dari Malaysia yang lebih jauh dan lebih mahal dari segi penghantaran.
Selain itu, Ahmad Fadhli berkata, kawalan import makanan di AS adalah antara yang paling ketat di dunia dengan agensi seperti Jabatan Pertanian AS (USDA) serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) menetapkan peraturan ketat terhadap produk ternakan bagi mengelakkan risiko penyakit seperti selesema burung.
“Malaysia juga tidak tersenarai sebagai pembekal rasmi telur ke AS dan sebarang import perlu melalui saringan ketat. Ini menjadikan penyeludupan dalam skala besar hampir mustahil kerana telur yang tidak mempunyai kelulusan veterinar rasmi tidak boleh dipasarkan di AS,” katanya.
Dari sudut bekalan, katanya AS sendiri merupakan antara pengeluar telur terbesar di dunia dengan lebih 96 bilion telur setahun.
Beliau berkata, walaupun wabak selesema burung menjejaskan pengeluaran domestik, AS mengambil langkah meningkatkan import dari negara lain seperti Mexico, Kanada dan Turkiye yang lebih dekat dan kos penghantaran jauh lebih rendah.
Sebagai contoh, katanya Turkiye mengeksport lebih 15,000 tan telur ke AS sebagai langkah sementara untuk menangani krisis bekalan dan dengan sumber import rasmi ini, tidak logik untuk AS mendapatkan bekalan telur melalui penyeludupan dari Malaysia yang jauh lebih sukar dari sudut kawalan dan kos.
Menurutnya, penyeludupan telur dari Malaysia ke AS tidak masuk akal dari sudut ekonomi, logistik, kawalan import dan bekalan tempatan di AS sendiri.
Bagaimana katanya, jika ia benar-benar berlaku, kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya untuk menyiasat dan menangani isu ini dengan lebih mendalam. – HARAKAHDAILY 23/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!