KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat, ketidakadilan berlaku dalam pengagihan peruntukan pembangunan kerajaan, terutama kawasan yang diwakili oleh ahli parlimen pembangkang.
Menurutnya, peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang rata-rata mewakili kawasan ‘Malay Belt’ seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sama sekali tidak diberikan.
“Ini kawasan majoriti bumiputera, dan mereka sepatutnya mendapat hak yang sama sebagai wakil rakyat. Tapi dalam masa yang sama, Pulau Pinang diberi projek LRT bernilai RM14 bilion.
“Negeri itu sememangnya dikuasai DAP, parti yang sering mempertikai keistimewaan bumiputera. Kenapa bila bercakap tentang keadilan ekonomi, mereka senyap bila negeri mereka mendapat peruntukan mega, tetapi bising bila bumiputera mendapat bantuan yang jauh lebih kecil?” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam pada itu menyifatkan keputusan kerajaan yang memberikan peruntukan tersebut sebagai ‘double standard’.
“Kalau benar mahu keadilan, sepatutnya semua kawasan dapat manfaat, bukan hanya negeri yang sehaluan dengan kerajaan.
“Sekali lagi ini bukan soal kaum, ini soal realiti ekonomi. Kalau bantuan bumiputera dipersoalkan, maka bantuan mega kepada negeri DAP juga harus dipersoalkan. Jangan hanya perjuangkan keadilan bila ia menguntungkan sebelah pihak sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!