Gencatan senjata: Netanyahu berdepan jalan sukar

Benjamin Netanyahu berdepan dilema dengan cadangan gencatan senjata Joe Biden.
- Advertisement -

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam kenyataannya pada minggu lalu menyatakan bahawa Israel sudah memenuhi matlamat operasinya di Gaza dan tiba masa menghentikan pertempuran serta kembali ke meja perundingan untuk gencatan senjata.

- Advertisement -

Cadangan itu telah dialu-alukan di peringkat antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, United Kingdom, Perancis, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyatakan sokongan terhadap cadangan Biden itu.

Di peringkat negara yang menjadi perantara, iaitu Qatar dan Mesir juga bersetuju dengan cadangan Presiden AS lalu menyeru Israel dan Hamas untuk segera memuktamadkan perjanjian gencatan senjata yang dicadangkan sebelum ini.

Setelah Joe Biden bersuara agar Israel menghentikan serangan di Gaza, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menerima reaksi keras dari pemimpin yang mendokong pemerintahannya.

Salah seorang menteri kanan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Bezalel Smotrich mengancam Benjamin Netanyahu untuk meninggalkan gabungannya dan menggulingkan kerajaan jika Netanyahu bersetuju menerima cadangan gencatan senjata oleh Joe Biden.

Manakala Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant menegaskan pihaknya tidak akan menerima Hamas untuk memerintah di Gaza. Hal itu dijadikan salah satu syarat jika mahu diadakan perundingan gencatan senjata.

Netanyahu menerusi kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri Israel berkata bahawa syarat Israel untuk menamatkan perang tidak berubah iaitu dengan memastikan tentera Hamas dihapuskan, tebusan dibebaskan dan Gaza tidak lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.

Dalam pada itu, pihak Hamas melihat cadangan Biden secara positif dan bersedia untuk menangani secara konstruktif sebarang cadangan berdasarkan gencatan senjata kekal.

Sebelum ini, Hamas telah menyatakan prinsip asas perundingan ialah berkaitan pertukaran tebusan dan tahanan antara kedua-dua pihak Hamas dan Israel.

Ini termasuk membebaskan semua tahanan Israel di Semenanjung Gaza, sama ada orang awam atau tentera sebagai pertukaran bagi sejumlah rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Hamas juga menuntut agar tentera Israel berundur dari Gaza dan membuka sekatan agar bantuan kemanusiaan dapat dibawa masuk.

Melihat kepada sikap Netanyahu dan menteri serta pemimpin parti gabungannya, perundingan gencatan senjata akan menempuh jalan sukar. – HARAKAHDAILY 8/6/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -