BANGI: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melahirkan kebimbangan terhadap nasib orang Melayu yang disifatkannya semakin buruk.
Lebih menyedihkan, beliau berkata orang Melayu tidak diberikan hak untuk bersuara meskipun berada di tanah air sendiri.
Menurutnya, orang Melayu kini menghadapi tekanan tidak boleh bercakap berkenaan isu 3R (agama, kaum, raja) kerana akan dilabelkan sebagai perkauman.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan keadaan orang Melayu yang bebas tetapi tidak bermakna kerana tidak boleh membincangkan nasib mereka.
“Saya berpendapat bahawa kerajaan hari ini larang…semua tak boleh. Cakap (Titah) Addendum tak boleh, sampai ke dalam Dewan Rakyat pun kalau bercakap dan tidak dipersetujui oleh kerajaan, speaker boleh gantung kerusi wakil rakyat (ahli parlimen).
“Ini tidak pernah terjadi. Kita khuatir negara ini sudah tidak lagi menjadi negara demokrasi, sebaliknya menjadi sebuah negara yang dihalang oleh pemerintah.
“Apabila kita cakap sikit mengenai masalah, kita akan disiasat polis dan kebanyakan orang kita akan berasa takut bila disoal. Kita nampak bahawa kerajaan ini menggunakan ketakutan sebagai satu alat untuk dia kekal sebagai perdana menteri dan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim dan Asnaf anjuran Yayasan Amal Malaysia cawangan Selangor di sini, semalam.
Menurut Dr Mahathir, lebih memburukkan keadaan apabila orang Melayu tidak kuat dalam bidang ekonomi, manakala bidang politik turut ‘dilemahkan’.
Katanya, masa depan orang Melayu dilihat amat buruk kerana mereka tiada kekuatan dalam bidang ekonomi dan sekarang dalam bidang politik pun dilemahkan.
“Kerajaan selalu melaungkan bahawa mereka bebas dan ambil berat tentang masalah rakyat, tapi rakyat tidak dibenarkkan bercakap dan inilah masalah kita sedang hadapi,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!