Belanjawan 2025: Kerajaan perlu ‘ukur baju di badan sendiri’

Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri dijangka pada Oktober ini mestilah mengukur baju di badan sendiri dan kerajaan perlu berusaha menguruskan negara dengan berhemat, namun pada masa yang sama membangun daripada aspek infrastruktur serta insaniah.

Pengerusi Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia), Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, kerajaan juga perlu mengelakkan daripada melaksanakan agenda politik dengan menjual beli kepercayaan rakyat semata-mata demi undi pilihan ray 

- Advertisement -

Ini kerana menurutnya, hanya dengan pertimbangan jujur demi masa depan negara, ekonomi Malaysia dapat diselamatkan. 

“Pesan orang tua, hidup mulia tanpa hutang yang menjerut tengkuk. Hidup bebas hutang pula dikaitkan dengan kesejahteraan hidup. Hutang adalah perkara aib serta perlu dielakkan. Itu yang dididik kepada kita sejak sekian lama,” katanya.

Namun begitu menurutnya, pakar ekonomi negara berpandangan senario menguruskan hidup secara individu berbeza dengan menguruskan negara, kerana hutang dilihat perlu untuk membangunkan dan menguruskan negara. Adakah pendapat itu benar? 

Tambah Rosharizan, hutang negara merujuk kepada jumlah wang yang kerajaan sesebuah negara berhutang kepada para peminjam yang terdiri daripada entiti dalam negara atau luar negara. Hutang ini biasanya digunakan untuk membiayai kegiatan kerajaan seperti pembangunan infrastruktur, perkhidmatan awam dan pengurusan defisit belanjawan. 

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata jumlah keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2023 adalah sebanyak RM1,172.5 bilion atau 64.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding RM1,079.6 bilion atau 60.3 peratus daripada KDNK pada 2022.

“Merujuk kepada dokumen Belanjawan Negara 2024, hutang KDNK kita telah mencapai 59.9 peratus yang mana Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) meletakkan had tidak melebihi 65 peratus,” tambahnya. 

Lebih meresahkan lagi menurut Rosharizan, dokumen sama menunjukkan pinjaman luar Malaysia berakhir Ogos 2023 adalah RM30 bilion. Sebagai rekod, had yang ditetapkan oleh Akta Pinjaman Luar Negara 1963 (Akta 403) adalah tidak melebihi RM35 bilion. 

Oleh yang demikian, Anak Malaysia melihat dua fakta tersebut sebagai penggera kepada kita untuk bangkit sedar daripada keghairahan berhutang menggunakan hujah pembangunan dan menguruskan negara. 

Tambah pihaknya, kiblat ekonomi Malaysia perlu merdeka daripada dikawal oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mempunyai kepentingan tertentu kerana panduan IMF bukanlah rujukan mutlak kerana terdapat ramai bijak pandai dalam sektor ekonomi dan politik yang boleh dimanfaatkan untuk membangunkan negara.

“Manusia yang waras tidak akan berhutang melebihi kemampuan. Para pemimpin perlu mengubah cara mengurus negara dengan lebih berhemat, mengutamakan rakyat berbanding kroni.

“Kembali fokus membangunkan manusia berbanding mendirikan bangunan pencakar langit dan mendahulukan projek keperluan rakyat berbanding projek mega yang mengkayakan golongan tertentu,” katanya. –HARAKAHDAILY 31/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!