‘Rakyat KKB, kita hukum PH dan DAP 11 Mei ini’

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) mengecam sekeras-kerasnya tindakan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan jentera kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)  Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, ia dapat dilihat menerusi majlis Makan Malam dan Taklimat Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India yang dianjurkan oleh TEKUN Nasional.

- Advertisement -

“Apabila mereka dapati suara masyarakat India menolak mereka, mereka gunakan agensi TEKUN Nasional ini untuk berkempen bagi pihak mereka.

“Ini satu bentuk hipokrasi yang begitu jelas dilakukan oleh kerajaan Madani pada hari ini, yang dulu mereka lah yang paling lantang melawan UMNO/BN menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya dalam sidang media PRK KKB, di sini, hari ini. 

Namun, sebaliknya menurut beliau, kerajaan PH pada hari ini telah mengulangi tindakan apa yang dahulunya ditentang oleh mereka.

“Oleh itu, saya harap pengundi di Kuala Kubu Bharu lihat kepincangan ini,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu menolak dakwaan yang mengatakan pemimpin PAS tidak turun berkempen di KKB, seperti yang didakwa oleh sesetengah pemimpin PH.

“Malam ini Presiden PAS turun. Sebelum ini Timbalan Presiden PAS, Naib Presiden PAS juga ada turun. Seluruh jentera PAS bekerja (untuk PRK KKB).

“Tapi saya tertanya-tanya sehingga kini di mana jentera PKR? Mana Timbalan Presiden PKR? Mana Presiden PKR yang tidak turun sekalipun di Kuala Kubu Bharu ini?” soalnya.

Oleh yang demikian menurutnya, huru-hara dan kepincangan yang sebenarnya adalah pada kerajaan Madani, bukan pada PAS seperti yang didakwa.

“Mereka bertelingkah sesama mereka yang akhirnya mereka gagal membawa aspirasi dan perjuangan rakyat.

“Oleh itu rakyat Kuala Kubu Bharu, kita hukum Pakatan Harapan dan DAP pada 11 Mei ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2024

- Advertisement -