PRK KKB: ‘Orang-orang muda wajib mengundi’

Shahidan Kassim hadir pada PRK KKB di kawasan Jalan Meranti 3, bersebelahan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor pada hari ini, 11 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Ikmal Emir)
- Advertisement -

HULU SELANGOR: “Saya menyeru kepada orang-orang muda supaya turun mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu hari ini.” 

- Advertisement -

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, kehidupan rakyat pada masa ini semakin tersepit dari semasa ke semasa.

“Ini termasuklah anak-anak muda kita yang benar-benar tersepit dengan kenaikan kos sara hidup dan sebab itu mereka kena turun mengundi hari ini juga,”  katanya ditemui Harakahdaily di kawasan Jalan Meranti 3 bersebelahan pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Batang Kali, hari ini.

Menurut beliau, mengundi merupakan satu daripada langkah utama dalam melakukan perubahan terhadap nasib mereka sendiri lebih-lebih lagi dengan memilih calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang benar-benar berkualiti.

Tambahnya, orang-orang muda memainkan peranan yang penting dalam melakukan perubahan dalam negara ini.

“Kita kena faham bahawa ramai rakyat negara ini sedang bergelut dengan pelbagai krisis ekonomi dan kerajaan seolah-olah tidak melihat perkara ini secara keseluruhan.

“Jadi dengan mengundi PRK Kuala Kubu Baharu ini boleh memberikan signal kepada kerajaan persekutuan itu sendiri bahawa rakyat telah mula bersuara.

“Tetapi dengan syarat mesti kena turun dan undi calon yang betul kerana apa gunanya jika tak melakukan sedemikian?,” tegasnya.

Beliau mengharapkan supaya lebih ramai lagi orang-orang muda turun mengundi dalam PRK ini supaya dapat melakukan sebarang perubahan.

“Saya inginkan masa depan yang terbaik untuk anak-anak muda ini dan berharap lebih ramai lagi yang akan turun pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2024