PRK KKB: Polis terima 12 laporan kesalahan

Razarudin Husain
- Advertisement -

HULU SELANGOR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 12 laporan atas pelbagai kesalahan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) berlangsung.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua tangkapan dilakukan serta mendakwa individu terbabit kerana kesalahan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 

- Advertisement -

“Isu lain yang kita nampak di sini, memang pengundi atau parti politik yang memberi ceramah tidak ada (menyentuh) isu sensitif, selain keadaan di sini, kita lihat memang sangat aman dan tenteram.

“Kebanyakan pegawai dan anggota berpengalaman menyelaraskan keselamatan dan ketenteraman, terutama bagi pengundi serta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu, seorang warga emas, P. Ramasamy, 66 dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dengan niat memeriahkan kempen pilihan raya.

Sementara itu, Razarudin berkata, pihaknya telah mengeluarkan lebih 190 permit berkempen sepanjang tempoh PRK dan tiada sebarang pelanggaran dikenal pasti terutama melibatkan isu 3R (kaum, agama dan raja).

“Tiada isu 3R, kebanyakannya isu pembangunan. Itu yang sepatutnya dibincangkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2024

- Advertisement -