‘PRK KKB wake up call buat PN, jangan selesa’

Idris (tengah), Ahmad Fadhli (kanan) dan Radzi dalam siri pertama ceramah Jelajah Selamatkan Malaysia di Bangi, Selangor pada malam tadi, 17 Mei 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

BANGI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei 2024 merupakan ‘wake up call’ (‘panggilan untuk bangkit’) buat Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan momentum, namun ia juga peringatan buat parti itu agar tidak berada di zon selesa.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, keputusan PRK KKB menunjukkan penganalisis politik termasuklah oleh Institut Darul Ehsan (IDE) mengatakan pengundi muda 40 tahun dan ke bawah kekal memberikan sokongan tegar kepada PN.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian dalam siri pertama ceramah ‘Jelajah Selamatkan Malaysia’ yang diadakan di Dewan D Mawaddah berjudul, Kuala Kubu Baharu Signal Rakyat pada malam tadi.

Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Menurut Idris lagi, ketika hadir melawat cawangan-cawangan di kawasan-kawasan mengundi di KKB tempoh hari dan menyaksikan orang-orang muda turun mengundi, beliau melihat ia bakal menjanjikan masa depan yang cerah buat PN.

Sementara Ahmad Fadhli berkata, PRK KKB juga peringatan buat PN agar tidak berada di zon selesa.

“Keputusan PRK KKB merupakan ‘wake up call’ (‘panggilan untuk bangkit’) buat Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan momentum. Ia (PRK KKB) bukan suatu keputusan yang selesa untuk kita.

“Kita tidak pernah rasa selesa… dalam masa tiga empat tahun lagi macam-macam perkara boleh berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan keputusan PRK KKB menunjukkan PH menerusi calonnya, Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi, manakala PN yang diwakili Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi, serta calon Bebas, Nyau Ke Xin meraih 188 undi dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya 152 undi.

Turut dilaporkan, PN menyifatkan kekalahan pada PRK DUN KKB sebagai bermaruah, dengan penurunan majoriti kepada 3,869 berbanding 4,119 majoriti yang diraih PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Sementara laporan media juga berkata, hasil analisis yang dibuat IDE, kejayaan kerajaan perpaduan mempertahankan kerusi DUN KKB pada PRK 11 Mei lalu adalah disebabkan oleh undi bagi kategori umur 41 tahun ke atas; manakala, PN pula memperoleh undi pengundi muda yang berusia 18 hingga 24 tahun.

Menurut analisis IDE itu, pengundi daripada kumpulan berusia 41 tahun ke atas merekodkan peratusan keluar mengundi yang besar melebihi 60 peratus, manakala kumpulan pengundi muda adalah paling rendah iaitu kurang daripada 55 peratus. – HARAKAHDAILY 18/5/2024

- Advertisement -